Anda di sini

Bagasi lima orang tidak naik pesawat ‘bersih’

Advertisement

MAKLUMAT TERKINI: Azharuddin (kanan) dan Ahmad Jauhari pada sidang media terkini mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Sepang semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) semalam  menyatakan bagasi lima orang yang mendaftar masuk tetapi tidak menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, didapati ‘bersih’.

“Kami telah memindahkan bagasi mereka. Setiap bagasi itu direkodkan dan diberikan nombor siri unik supaya bagasi yang betul dikeluarkan daripada pesawat,” kata Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Mengenai laporan dua penumpang menaiki pesawat itu menggunakan pasport curi, beliau berkata butirannya tidak boleh didedahkan pada ketika ini kerana ia mungkin menjejaskan penyiasatan.

Azharuddin berkata pihak berkuasa relevan sedang menyiasat kes itu dan mereka turut melihat rakaman video kedua-dua penumpang itu.

“Sebaik sahaja kami mendapat sebarang laporan daripada pihak berkuasa, kami akan maklumkan apa yang telah dikumpul oleh pasukan pakar,” katanya dalam sidang akhbar.

Azharuddin berkata anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL  (KLIA) telah mematuhi standard antarabangsa dan memenuhi semua syarat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabansga.

“…dan kami mempunyai Program Penerbangan Awam Kebangsaan yang kami perlu patuhi. DCA telah menjalankan audit ke atas KLIA dan kami telah diaudit oleh pentadbiran keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat dan pejabat keselamatan  Australia,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia telah bertindak secara betul dalam kes ini, walaupun ia bukan tugas mudah.

“Pakar-pakar di seluruh dunia juga menyatakan bahawa kawasan yang kami perlu liputi amat luas; kami semua perlu bekerjasama untuk mencari pesawat itu,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat tempoh masa ditetapkan bagi operasi mencari, Azharuddin berkata, tiada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata mereka sedang membuat persediaan bagi anggota keluarga terdekat penumpang Penerbangan MH370 dari China diterbangkan ke Kuala Lumpur sama ada semalam atau hari ini.

“Kami menawarkan kepada dua anggota keluarga terdekat setiap penumpang diterbangkan sama ada hari ini (semalam) atau esok (hari ini) dan tiga lagi anggota keluarga terdekat diterbangkan kemudian,” katanya. — Bernama

Advertisement