Anda di sini

Yayasan Penganut Buddha sedia sokongan emosi

Advertisement

BEIJING: Lima puluh sukarelawan Yayasan Penganut Buddha Tzu-Chi, 15 daripada mereka rakyat Malaysia, bersedia memberikan sokongan emosi dan penjagaan kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang.

Zeng Yunji, jurucakap Yayasan Penganut Buddha Taiwan berpangkalan di sini berkata mereka bersedia untuk memberikan sokongan emosi kepada penumpang yang disayangi.

Beliau berkata selain daripada sukarelawan China dan Malaysia, mereka juga disertai sukarelawan-sukarelawan dari Amerika Syarikat dan Singapura.

“Kami akan memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada anggota keluarga (mangsa),” katanya kepada pemberita semasa ditemui di luar Hotel Lido di sini, di mana keluarga terdekat para penumpang ditempatkan.

Zeng berkata yayasan itu telah berhubung dengan pegawai-pegawai MAS sebelum kerja-kerja sukarela dimulakan.

Sementara itu, sukarelawan-sukarelawan Malaysia dari Tzu-Chi dan mereka daripada MAS Go Team enggan mengulas apabila ditemui media.

Pasukan MAS Go Team terdiri daripada 93 sukarelawan tiba di sini semalam untuk memberikan sokongan emosi dan bantuan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang itu. Penerbangan pesawat MH370, membawa 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di sini jam 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama

Advertisement