Anda di sini

Routes Asia 2014 landasan terbaik perkenal S’wak, M’sia

Advertisement

KUCHING: Penganjuran Routes Asia 2014 di sini merupakan landasan terbaik kerajaan memperkenalkan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya kepada dunia, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Katanya penyertaan kira-kira 800 delegasi memperkenalkan 100 penerbangan, 230 lapangan terbang daripada 60 negara, pastinya dapat memberi kesan positif kepada negeri ini.

“Kita gembira dan mengalu-alukan kedatangan semua delegasi ke Kuching, Sarawak kerana inilah peluang kita memperkenalkan negeri ini kepada dunia.

“Kita yakin melalui forum ini, kita berpeluang memperkenalkan keindahan Sarawak dan peluang yang baik untuk pelancongan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Routes Asia 2014 di BCCK, semalam.

Terdahulu, Pengarah Kumpulan Pengangkutan dan Teknologi UBM Live Adrian Newton memberitahu pihaknya bertuah dapat datang ke Kuching pada forum kali ini.

Justeru beliau berharap peluang yang ada ini dapat digunakan oleh semua delegasi yang hadir untuk meningkatkan rangkaian terhadap pelancongan masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Malaysia Airports Holding Mohamed Sallaudin Mat Sah berkata, forum pertama kali diadakan di Kuching dan negara ini bukan hanya membawa faedah kepada syarikat penerbangan tetapi kepada bandar raya dan negeri ini sendiri.

Routes Asia 2014 berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok (9 hingga 11 Mac 2014) di BCCK.

Advertisement