Anda di sini

RM39,000 diberi kepada 78 keluarga terjejas banjir

Advertisement

MALUDAM: Kerajaan persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyalurkan peruntukan berjumlah RM39,000 kepada 78 keluarga terjejas banjir di Maludam semalam.

Wang ihsan RM500 setiap keluarga itu adalah untuk 14 keluarga dari Rumah Gasing Meranti, 36 keluarga dari Rumah Sering Meranti, sebuah keluarga dari Rumah Anchin Sungai Mulon, 22 keluarga dari Rumah Titty Tanjung Baru dan lima keluarga dari Kampung Hilir, Maludam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata bantuan itu adalah inisiatif kerajaan persekutuan melalui MKN membantu meringankan beban mangsa banjir selain bantuan barang dapur serta keperluan asas.

Menurut Simoi, ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat ditimpa musibah dan komitmen dilakukan tanpa mengira bangsa dan agama.

Apa yang penting, rakyat harus bersyukur dan terus memberi sokongan kepada kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Rakyat luar bandar jangan terpedaya dengan janji kosong pembangkang dan individu tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan kaum di negara ini,” katanya pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di sini kelmarin.

Justeru katanya, kekalkan perpaduan dan keharmonian demi kestabilan politik yang mantap dan cemerlang di negara kita.

Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Betong Galong Luang, Pegawai Daerah Betong Friday Belik serta Penolong Setiausaha MKN Sarawak Mejar Mohd Yusni Abu Bakar.

Advertisement