Anda di sini

Petani disaran mempelbagaikan tanaman

Advertisement

 BINTULU: Petani di negeri ini disaran mengusahakan lebih daripada satu tanaman bagi membolehkan mereka mengekalkan hasil bulanan diperolehi seterusnya dapat menampung serta menstabilkan pendapatan keluarga.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seorang petani yang bergiat aktif dengan satu jenis tanaman seperti kelapa sawit, getah, lada, koko dan sebagainya, boleh menanam sekurang-kurangnya dua jenis komoditi atau lebih dalam sesuatu masa.

“Sekiranya sebelum ini seorang petani hanya mengusahakan tanaman getah, mereka dalam satu masa boleh menanam kelapa sawit di tanah berdekatan supaya pendapatan mereka berterusan sekiranya salah satu daripada komoditi terbabit mengalami penurunan harga,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kakus di sini malam kelmarin.

Jelasnya, walaupun sekarang komoditi getah mengalami kadar penurunan agak mendadak namun petani tidak harus berputus asa kerana ia bersifat sementara dan suatu masa nanti harga akan melambung tinggi.

Setiap petani harus sentiasa menyelenggara dengan baik setiap tanaman yang mereka usahakan bagi memastikan pendapatan mereka terus bertambah terutama apabila harga setiap komoditi bertambah baik.

“Bagi mereka mengusahakan tanaman kelapa sawit, harga komoditi berkenaan agak baik dan sekarang merupakan masa terbaik bagi setiap pengusaha mendapatkan keuntungan berlipat ganda dan alangkah baiknya jika setiap petani mengusahakan dua jenis komoditi dalam satu masa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Uggah turut menggesa PBB Kakus mengadakan kursus khas buat ahli Pemuda dan Wanitanya dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan mereka bagi membantu rakyat setempat.

Seboleh-bolehnya, setiap kursus hendaklah diadakan sebelum atau Mei nanti bagi memfokuskan langkah terbaik meningkatkan perkhidmatan PBB di kawasan terbabit.

Selain itu jelasnya, membincangkan langkah relevan bagi meningkatkan tahap pendidikan anak-anak muda yang masih bersekolah supaya mereka berjaya dalam pelajaran dan kehidupan masa depan.

“Sebaik-baiknya, PBB boleh menganjurkan program bercorak kaunseling untuk  anak-anak sekolah sama ada di sekolah rendah atau menengah supaya mengetahui peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej atau universiti serta bidang berpotensi tinggi yang mendapat tempat di pasaran kerja,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM30,000 kepada PBB Kakus manakala Pemuda dan Wanitanya masing-masingnya menerima RM10,000.

Hadir sama Ketua Pemuda PBB Kakus George Sanok dan Ketua Cawangan PBB Kakus merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBB Negeri Dr Nuing Jeluing.

Advertisement