Anda di sini

Perpaduan, kerjasama wajar dipelihara

Advertisement

KUCHING: Perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum wajar dipelihara kerana ia bukan hanya membawa kemakmuran malah membentuk masyarakat penyayang, kata Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurutnya, peralihan kepimpinan yang berlaku di negeri ini merupakan bukti kejayaan Sarawak mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang sangat rapat.

“Saya berasa sungguh gembira dapat melihat peralihan kepimpinan Sarawak membawa kita kepada ke pangkuan Ketua Menteri baharu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Malam ini kita sekali lagi menyaksikan peralihan dalam SABATI yang mana daripada isteri saya, Puan Sri Ragad kepada Puan Sri Datuk Jamilah Anu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Apresiasi Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di Hotel Pullman di sini, malam kelmarin.

Dalam ucapannya, Taib yang pernah memegang jawatan Ketua Menteri mengenang kembali penglibatan isteri pertamanya Allahyarham Datuk Amar Puan Sri Laila Taib, yang pernah menjadi presiden SABATI.

“Saya berharap dapat melakukan lebih banyak untuk SABATI.

“Saya akan berusaha mencari dana kerana saya pernah berjanji dengan presiden pertama SABATI (Laila) untuk membantu apabila ada peluang,” jelasnya.

Menurut Taib, beliau percaya dengan lebih banyak sumber kewangan, pertubuhan tersebut dapat memainkan peranan besar dalam membantu golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib kerana berjaya meneruskan SABATI dengan cemerlang selama kira-kira tiga tahun.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada pengganti Ragad, Puan Sri Datuk Jamilah Anu dan ahli exco Dato Sri Empiang Jabu yang telah banyak membantunya pada masa itu.

Terdahulu, Taib turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Yayasan SABATI, Bangunan Laila Taib serta Wisma SABATI, PERYATIM Mukah dan PERYATIM Lawas yang telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dalam perkembangan lain, Taib berkata sejak ditubuhkan pada 1982, SABATI telah membantu lebih 500 pesakit jantung untuk mendapatkan rawatan ke luar negara melalui projek ‘Dari Hati Ke Hati’.

Sementara itu, Jamilah dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada Ragad atas sokongan dan bimbingan semasa menjadi presiden lalu.

“Di bawah kepimpinan Puan Sri, banyak program telah dijalankan dengan jayanya,” jelasnya.

Selain Yayasan Jantung Sarawak dan PERYATIM, Jamilah memberitahu bahawa SABATI turut meneruskan usaha menjaga alam sekitar melalui program penanaman pokok secara berterusan.

“SABATI juga peka kepada kepentingan menjaga alam sekitar melalui program penanaman pokok secara berterusan, aktiviti memelihara kebersihan alam sekitar dan udara daripada pencemaran,” tambahnya.

Terdahulu, SABATI menerima peruntukan berjumlah RM500,000 bagi memperkasakan peranan mereka membela kebajikan masyarakat yang diumumkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Dengan peruntukan tersebut, jumlah keseluruhan dana yang dikumpul SABATI adalah sebanyak RM7 juta daripada sumbangan orang ramai.

Advertisement