Anda di sini

Pasukan MAS ‘Go Team’ dengan 93 sukarelawan tiba di Beijing

Advertisement

BEIJING: Sepasukan ‘Go Team’ Malaysia Airlines terdiri daripada sukarelawan tiba di Beijing bagi memberikan sokongan emosi dan bantuan kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang dilapor hilang awal pagi kelmarin.

Pasukan itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.30 petang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing 10.45 malam Sabtu, jurucakap MAS Ignatius Ong memberitahu satu sidang akhbar di sini jam 1.30 pagi Ahad.

“Kami memantau perkembangan di Beijing kerana kebanyakan penumpang pesawat adalah warga China,” katanya.

Ong berkata MAS masih tidak menemui sebarang bangkai pesawat setakat ini tetapi usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Beliau berkata pada masa ini MAS bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia, Vietnam, Singapura dan tentera laut Amerika Syarikat dan China dalam usaha mencari dan menyelamat.

Ong berkata MAS akan menerbangkan anggota keluarga terdekat penumpang ke lokasi apabila pesawat itu ditemui dan semua perbelanjaan akan ditanggung syarikat penerbangan itu.

Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi kelmarin menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi waktu tempatan.

Ong berkata MAS telah menghantar pegawai dari Shanghai, Guangzhou, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan Korea untuk membantu pasukan menyelamat.

Ditanya mengenai tumpahan minyak yang ditemui di Vietnam, beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan MAS masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu daripada pihak berkuasa Malaysia.

“MAS sentiasa telus dan sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa,” katanya.

Beliau juga berkata pesawat MH370 telah diperiksa 10 hari lalu dan berada dalam keadaan baik sebelum ia berlepas. — Bernama

Advertisement