Anda di sini

Pasukan kesihatan tangani kes trauma

Advertisement

BERI BANTUAN: Kelihatan kaunselor memasuki kawasan yang menempatkan ahli keluarga penumpang
pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang dilaporkan hilang di mana wakil media tidak dibenarkan
masuk ketika di hotel penginapan keluarga mangsa di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sekumpulan pasukan kesihatan ditempatkan di The Everly Hotel di sini untuk menangani kes-kes trauma dalam kalangan waris dan keluarga penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi kelmarin.

Menurut seorang petugas kesihatan yang enggan namanya disiarkan, sebanyak 25 petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat bertugas secara giliran.

Katanya, setiap kumpulan dianggotai lima orang yang bertugas selama enam jam.

“Kami bertugas untuk menenangkan keluarga penumpang yang trauma dan setakat ini terdapat beberapa ahli keluarga penumpang telah dirawat,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Katanya pasukan kesihatan berkenaan dipanggil ke hotel itu setelah beberapa anggota keluarga penumpang pesawat MH370 mengalami trauma yang teruk.

“Kami diberitahu kekecohan (trauma) bermula di KLIA dan mereka (anggota keluarga) dipindahkan ke sini bagi mengelakkan kekecohan yang lebih serius. Ada di antara yang dirawat tadi (semalam) dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Seorang lagi pegawai kesihatan berkata anggota keluarga penumpang pesawat ditempatkan di sini bagi memberi lebih privasi kepada mereka daripada pihak media, disebabkan kedudukan hotel yang agak jauh dengan lapangan terbang.

Sementara itu, seorang petugas Malaysia Airline (MAS) yang bertugas di sini berkata hampir kesemua keluarga penumpang MH370 ditempatkan di The Everly Hotel di sini sebelum diterbangkan ke satu destinasi yang belum dipastikan.

Katanya setiap dua anggota keluarga bagi setiap penumpang MH370 diminta membawa pasport sebagai persediaan jika diterbangkan ke destinasi yang belum ditetapkan itu. — Bernama

Advertisement