Anda di sini

Pakatan Rakyat tetap sokong Anwar meskipun dipenjara

Advertisement

MIRI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri semalam mengumumkan akan terus berdiri di belakang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi PAS Miri Jofri Jeraie, pihaknya di bawah naungan Pakatan Rakyat (PR) sentiasa menyokong perjuangan pemimpin berkenaan dalam hal keadilan rakyat.

Ini berikutan pada Jumaat lalu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar setelah Mahkamah Rayuan mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

“Ia (pendengaran rayuan) sengaja dilakukan untuk menghalang Anwar daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar serta Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Jofri pada masa sama turut menuduh kerajaan pemerintahan sekarang membuat perancangan ‘membunuh’ karier politik Anwar.

Ini kerana prosiding rayuan kes berkenaan pemimpin itu sengaja dilakukan terlalu dekat dengan PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Menurut Jofri, dalam Islam sebenarnya tidak cukup saksi untuk membuktikan Anwar bersalah dan melakukan liwat.

Kes berkenaan katanya, harus didengari di Mahkamah Syariah dan sebaliknya bukan Mahkamah Sivil kerana tertuduh adalah seorang Muslim.

“Ia adalah pembunuhan karier politik Anwar kerana beliau mungkin berumur 70 tahun dan terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri setelah keluar dari penjara nanti,” jelasnya.

Pada sidang media bersama DAP Piasau itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling turut mengutarakan perkara sama dan bimbang dengan sistem kehakiman negara.

Ling yang juga merupakan seorang peguam memberitahu bahawa terdapat beberapa bias berlaku dalam hal berkenaan.

Mengenai PRK Kajang, Ling berkata beberapa orang sukarelawan akan dihantar untuk membantu calon PR di kawasan itu.

Beliau turut mengakui bahawa ia bakal menjadi ujian getir bagi PR dalam menguji kematangan minda pengundi dan rakyat secara keseluruhannya.

Advertisement