Anda di sini

Nasib MH370 kekal misteri

Advertisement

MISI MENCARI: Kapal penyelamat KM Amanah menjalankan operasi mencari pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan selepas bertolak kira-kira dua jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Sabtu. — Gambar Bernama

Tiada laporan cuaca buruk, petunjuk ia hilang selepas tinggalkan KLIA 12.41 pagi

KUALA LUMPUR: Nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Laut China Selatan dalam pen­erbangan dari Kuala Lumpur ke Bejing pada Sabtu kekal menjadi misteri.

Tiada laporan cuaca buruk atau petunjuk kehilangan pesa­wat Boeing 777-200ER itu dari skrin radar pada jam 1.30 pagi selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 12.41 pagi.

Pakar penerbangan berasa hairan bagaimana pesawat berk­enaan boleh hilang tanpa dapat dikesan.

Satu sumber industri pen­erbangan berkata juruterbang dilatih membuat panggilan kecemasan semasa menghadapi suasana cemas dengan keutamaan perlu diberikan kepada pesawat agar ia dapat mendarat dengan selamat.

“Sesuatu yang ekstrem dan tiba-tiba mungkin telah ber­laku di atas pesawat MH370 yang menghalang juruterbang­nya daripada membuat pnggilan kecemasan. Ini kerana pesawat Boeing 777-200ER dilengkapi alat ‘controller-pilot data link communication’ (CPDLC) untuk mengisytiharkan kecemasan,” katanya kepada Bernama sambil enggan dikenali.

Namun beliau berkata kotak hitam pesawat mungkin boleh menjelaskan persoalan yang tidak terjawab.

Walaupun tiada tanda ke­hilangan MH370, pesawat itu menyertai sebilangan pesawat misteri yang tidak diketahui sehingga kini.

Antara kes terbaharu yang paling diingati ialah pesawat Air France yang membawa 228 pe­numpang dari Brazil ke Perancis yang hilang dalam ribut di Lautan Atlantik pada 2009.

Pesawat Airbus A330 itu meng­hantar mesej secara automatik empat jam selepas ia berlepas dari Rio de Janeiro, melaporkan berlaku litar pintas. Ia kemudi­annya hilang daripada radar. Ia ketika itu difikirkan telah terkena panahan petir.

Bangkainya ditemui dua tahun kemudian berserta 104 mayat. Mayat 74 penumpang kekal tidak ditemui, demikian menurut Mir­ror Online, yang berpangkalan di United Kingdom.

Pengembara Amerika, Amelia Earhart hilang pada Julai 1939 semasa percubaannya untuk mengelilingi dunia. Teori popu­lar yang tersebar ialah kapal terbangnya terhempas ke dalam lautan dan tidak pernah ditemui, menurut harian Mirror Online yang berpangkalan di United Kingdom.

Pesawat British South Ameri­can Airways (BSAA), Star Tiger hilang semasa terbang dari Santa Maria, Azores ke Bermuda pada 30 Januari 1948.

Satu lagi pesawat BSAA, Star Ariel, hilang semasa penerbangan dari Bermuda ke Jamaica pada 17 Januari 1949.

Kejadian ‘terhempas’ ini sekiranya disahkan, akan me­nandakan kejadian terburuk pesawat buatan Amerika Syarikat sejak ia memulakan perkhidma­tan 19 tahun lalu. Ia mungkin berupa kemalangan kedua meli­batkan Boeing 777 dalam tempoh kurang daripada setahun.

Pesawat Asiana Airlines Boeing 777-200ER terhempas semasa mendarat di San Francisco pada Julai 2013, membunuh tiga pe­numpang dan lebih 180 orang cedera. — Bernama

Advertisement