Anda di sini

Lebih banyak rumah dibina untuk turunkan harga

Advertisement

 

TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan sijil penghargaan kepada Wan Liz, wakil peserta Bengkel Bina Semangat di Borneo Highland Resort semalam.

 KUCHING: Kementerian Perumahan menerusi anak syarikatnya, Daya Builder Sdn Bhd akan membina lebih banyak rumah khasnya di empat bandar utama di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pembinaan lebih banyak rumah di empat bandar iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu itu akan dapat memaksa harga rumah di pasaran diturunkan supaya rakyat yang tinggal di situ mampu memiliki rumah sendiri pada harga berpatutan.

“Kita lihat sekarang ini seperti rumah teres dua tingkat di empat bandar utama ini dijual pada harga yang tinggi iaitu lebih RM300,000 yang sememangnya tidak masuk akal sehingga golongan berpendapatan pertengahan iaitu RM3,000 hingga RM6,000 tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Justeru, kita menerusi anak syarikat kita akan membina lebih banyak rumah bagi membanjiri industri perumahan di negeri ini sekali gus mampu memaksa harga rumah di pasaran diturunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Bengkel Bina Semangat anjuran kementeriannya di Borneo Highland Resort dekat sini semalam.

“Kita tidak mahu pemaju terus mengaut keuntungan yang tinggi iaitu 80 hingga 100 peratus, menyebabkan harga rumah melambung tinggi,” tambahnya.

Abang Johari berkata untuk itu pihaknya telah memulakan projek pertama iaitu di Kampung Datu Baru, Sibu dengan membina 30 unit rumah yang akan dijual pada harga di bawah RM150,000 seunit.

Selain itu, menurutnya pihaknya juga akan membina lebih banyak rumah pangsapuri di kawasan yang mempunyai nilai tanah yang tinggi bagi memastikan harga rumah dapat dijual pada harga berpatutan.

“Untuk permulaan projek rumah pangsapuri ini kita akan laksanakannya berdekatan Kampung Tabuan dengan membina tiga blok rumah pangsapuri setinggi 15 tingkat yang turut dilengkapi kemudahan seperti dewan,” jelasnya sambil menambah ia akan dijual pada harga di bawah RM120,000 seunit.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa kementeriannya juga akan bekerja rapat dengan agensi perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Jabatan Perumahan Negara dan Perbadanan Pembangunan Perumahan.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Wan Liz Wan Othman dan 27 kakitangan kementerian itu.

Advertisement