Anda di sini

Keprihatinan, semangat penyayang SABATI meluas

Advertisement

 

KUCHING: Keprihatinan dan semangat penyayang Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) terbukti telah melangkau sempadan sosial, kaum, agama dan budaya melalui aktiviti-aktivitinya.

Justeru, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahu semangat tersebut dicontohi oleh pertubuhan-pertubuhan sukarela yang lain dan rakyat Sarawak khasnya dalam memastikan masa depan yang cerah ke arah membina masyarakat penyayang.

“Dalam era moden, penglibatan kaum wanita dalam pembangunan negeri Sarawak telah menyerlah.

“Persatuan wanita seperti Persatuan Wanita Melayu Sarawak, Sarakup Indu Dayak Sarawak dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) termasuk SABATI sendiri merupakan contoh terbaik bagaimana wanita telah terlibat secara amal dalam arus pembangunan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi SABATI di Hotel Pullman di sini, malam kelmarin.

Adenan menambah, sehigga hari ini terdapat sejumlah 100 pertubuhan wanita yang berdaftar dengan Biro Wanita Sarawak dan aktif dalam pelbagai aktiviti.

“Pada peringkat awalnya, Biro Wanita dan Majlis Wanita Sarawak telah memainkan peranan yang penting dalam melibatkan wanita Sarawak dalam pembangunan.

“Ini dimantapkan lagi dengan pengwujudan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga yang diberi tanggungjawab menyeluruh dalam aspek pembangunan wanita di negeri ini,” jelasnya.

Tambahnya, semangat berbakti secara sukarela ini nampaknya telah meresap ke dalam jiwa wanita Sarawak sejak sekian lama.

“Berlandaskan semangat itu, SABATI yang telah diterajui oleh Allahyarham Datuk Amar Puan Sri Laila dengan sokongan padu daripada Pehin Sri telah ditubuhkan.

“SABATI memberi fokus kepada kerja-kerja amal khasnya membantu anggota masyarakat yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik.

“Malah, puncak kejayaan SABATI yang begitu bermakna kepada masyarakat kita ialah penubuhan Yayasan Jantung Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adenan berkata di Malaysia keseluruhannya, pencapaian wanita sungguh membanggakan dan mereka menempa nama dalam pelbagai bidang.

“Wanita Malaysia bukan sekadar jaguh kampung malah mampu melakar kejayaan di arena antarabangsa.

“Misalnya, dalam bidang akademik, perbankan, sukan, perniagaan, sains angkasa dan banyak lagi sektor yang dahulunya didominasi oleh kaum lelaki.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian kaum wanita di Sarawak, sudah pasti kita tidak akan melupakan kejayaan Pandelela Rinong yang telah mengharumkan nama Sarawak apabila memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik di London pada tahun lepas,” katanya.

Adenan menambah, mengikut statistik untuk tahun 2010, kaum wanita merupakan 49 peratus daripada penduduk Sarawak dan 53.2 peratus daripada tenaga pekerja di negeri ini terdiri daripada kaum wanita berbanding 46.9 peratus untuk negara.

“Bilangan pelajar di institusi pengajian tinggi telah melonjak begitu ketara sejak 10 tahun yang lalu, contohnya di UNIMAS dan UITM bilangan pelajar wanita telah mencecah 60 hingga 70 peratus.

“Bidang-bidang seperti politik, ekonomi, kesihatan dan sukan juga menampilkan kemajuan kaum wanita sejak beberapa dekad yang lalu,” ujarnya.

Justeru, beliau gembira melihat kemunculan beberapa kumpulan penjawat awam wanita selepas merdeka dan peranan mereka dalam memupuk dan melahirkan pemimpin-pemimpin wanita perlu diberi pengiktirafan.

“Tugas mereka, contohnya sebagai guru dan pegawai kerajaan telah memberi mereka ruang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan untuk kepentingan masyarakat.

“Saya menyeru kepada kaum wanita agar terus bersikap pisitif dalam mengharungi cabaran pembangunan sosial dalam era dunia tanpa sempadan masa kini,” katanya.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Presiden SABATI Puan Sri Datuk Jamilah Anu.

Advertisement