Anda di sini

Imigresen disiasat berikutan dua pelancong guna pasport curi

Advertisement

KAWALAN KETAT: Pihak Imigresen memperketatkan pemeriksaan keselamatan di Balai Pelepasan Antarangbangsa berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi Sabtu. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Satu siasatan dalaman dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong meng­gunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi kelmarin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khu­sus kepada Jabatan Imigresen Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA se­masa penerbangan MH370.

“Saya masih hairan takkan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia,” katanya kepada pemberita pada majlis pertemuan pe­serta konvoi Kembara Bumi Suci 2014 dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata sia­satan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat.

Katanya buat masa ini tiada sebarang kesimpulan boleh dibuat berhubung isu itu memandangkan siasatan baharu sahaja bermula iaitu sebaik sahaja pemilik sebenar pasport berkenaan mendakwa dokumen masing-masing telah dicuri.

Ahmad Zahid menarik per­hatian apabila berkata adalah sukar untuk menentukan kesa­hihan sesuatu pasport antara­bangsa yang dibawa seseorang pemegang memandangkan bukan semua negara meng­gunakan sistem biometrik dan kod bar seperti Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media di Sepang semalam mengesahkan hanya dua penumpang yang mem­punyai pasport palsu bagi menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kedua-dua penumpang terbabit masing-masing menggunakan pasport war­ganegara Itali dan Austria. — Bernama

Advertisement