Anda di sini

Beri peluang kepada bekas banduan mulakan hidup baharu

Advertisement

KUCHING: Masyarakat harus memberi peluang serta pertolongan kepada bekas banduan untuk memulakan kehidupan baharu, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata golongan tersebut tidak harus dihukum kerana kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lampau.

“Sebagai masyarakat prihatin, kita hendaklah membuang stigma terhadap bekas banduan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk berubah serta memperbaiki diri menjadi lebih baik.

“Kita hendaklah mengamalkan sikap kesamarataan sesama masyarakat dalam meneruskan kelangsungan hidup dengan jujur dan telus,” katanya.

Pada masa sama Fatimah menggesa bekas banduan agar menyertai pelbagai program pendekatan rakyat terutama dalam menyalur bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika melawat Restoran Fook Khang Vegetarian yang diusahakan oleh bekas banduan Wong Chong Chen, 34, di belakang Hock Lee Centre, di sini semalam.

Terdahulu, Wong ketika ditemui berkata, selepas keluar dari penjara pada 2009, beliau berhasrat untuk memulakan kehidupan baharu bersama isteri serta dua anaknya.

“Saya mempunyai dua orang anak, justeru saya rasakan saya perlu bertanggungjawab dalam membesarkan mereka dan menjaga kebajikan keluarga saya.

“Pada 2011, saya bekerja di restoran ini (Restoran Fook Khang Vegetarian) sebagai pembantu kedai, kemudian tuan kedai berhasrat untuk menyerahkan kedai ini kepada saya untuk diteruskan.

“Pada 5 November 2012, restoran dua lot ini mula diusahakan oleh saya sendiri selain turut dibantu oleh beberapa rakan bekas banduan yang lain,” katanya.

Justeru, beliau berharap lebih ramai masyarakat prihatin akan membantu beliau serta rakan-rakan lain yang menunjukkan komitmen tinggi untuk berubah ke arah lebih baik.

Restoran Fook Khang Vegetarian turut beramal dengan menyediakan 50 pek makanan kepada golongan miskin setiap hari Selasa bermula jam 10 pagi hingga 1 petang selain turut disokong oleh Kelab ROTARY.

Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan membuka kaunter di Restoran Fook Khang Vegetarian setiap hari Selasa bagi mengenal pasti golongan miskin yang layak menerima bantuan bulanan daripada JKM.

Restoran tersebut menyediakan makanan berunsur sayur-sayuran dan kacang soya.

Orang ramai yang ingin merasai makanan sayuran bolehlah datang ke Restoran Fook Khang Vegetarian di belakang Hock Lee Centre, di sini.

Advertisement