Anda di sini

Askar nyaris hilang kaki kanan, motosikal dirempuh kereta

Advertisement

SAKIT: Mangsa yang menahan kesakitan menunggu untuk dibawa ke HUS bagi rawatan lanjut.

KUCHING: Seorang askar berusia 25 tahun nyaris kehilangan kaki kanannya selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Stakan, Kota Sentosa di sini, petang kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang wanita sedang menuju ke pasar Kota Sentosa apabila insiden sekitar jam 7 petang itu berlaku.

Difahamkan, kereta Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan itu mahu membelok ke sebuah simpang apabila merempuh motosikal tersebut.

Sumber turut memberitahu, kaki mangsa patah di lima bahagian setelah tersangkut di rim tayar motosikal.

Cebisan-cebisan daging kakinya ditemui pada rim tayar motosikal itu serta di atas jalan raya.

Pembonceng motosikal bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki dari Sungai Moyan dimasukkan ke Zon Merah HUS setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di persimpangan Batu Kawa-Jalan Datuk Stephen Yong, kira-kira jam 10 malam Sabtu.

Mangsa yang berusia 24 tahun itu dikatakan mahu membelok ke Jalan Datuk Stephen Yong apabila perlanggaran antara motosikal ditunggangnya dan Perodua Myvi itu berlaku.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Sementara itu, seorang wanita warganegara China cedera parah di bahagian muka setelah terpelanting keluar dari Mitsubishi Triton yang hilang kawalan di Jalan Tun Jugah di sini, awal pagi semalam.

Dalam insiden sekitar jam 1 pagi itu, mangsa bersama seorang lelaki dipercayai hilang kawalan ketika menuruni sebuah jejambat lalu terbabas dan terbalik di tepi jalan.

Pemandu kenderaan tersebut bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

Mereka dikejarkan ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk mendapat rawatan.

Advertisement