Anda di sini

Wanita berjaya diselamatkan, kekasih mati dalam kereta

Advertisement

SIBU: Seorang wanita berjaya diselamatkan manakala kekasihnya ditemui mati dalam sebuah Proton Wira di lorong 1C, Sibu Jaya di sini malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Siew berusia 28 tahun berada dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu manakala wanita terbabit berada di tempat duduk sebelah pemandu dalam keadaan pengsan ketika mereka ditemui.

Menurut sumber, wanita berusia 21 tahun itu dikatakan keluar dari rumah selepas meminta izin daripada ibunya pada jam 8.30 malam itu.

Tiga jam kemudian, ibu wanita tersebut ternampak sebuah kereta Proton Wira berwarna putih di luar rumah mereka.

Setelah mendapati kereta tersebut tidak berganjak dari situ dan kelihatan mencurigakan, ibu wanita terbabit kemudiannya cuba menghubungi anak perempuannya tetapi telefon bimbitnya tidak dijawab.

Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, ibu wanita tersebut bertindak mendekati kereta itu dan mendapati anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala Siew kelihatan tidak bergerak.

Cemas dengan keadaan itu, dia terus menghubungi polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Pasukan polis yang tiba di lokasi terus melakukan pemeriksaan dan mendapati Siew yang terbaring di tempat duduk pemandu sudah tidak bernyawa.

Difahamkan Siew mempunyai hubungan dengan anak perempuan pengadu yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit.

Siasatan awal polis mendapati enjin kereta Wira tersebut masih hidup semasa mereka melakukan pemeriksaan.

Menurut sumber, gas pendingin hawa kereta tersebut didapati bocor.

Anak perempuan pengadu yang masih tidak sedarkan diri kemudiannya digegaskan ke Hospital Sibu menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Selepas dirawat, pihak hospital mendapati wanita terbabit pengsan dipercayai selepas memakan ubat secara berlebihan.

Mayat Siew telah dihantar oleh pasukan polis ke bilik mayat selepas pemeriksaan di lokasi selesai.

Punca kematian Siew belum dapat dikenal pasti sehingga bedah siasat dilakukan Isnin ini.

Advertisement