Anda di sini

Sarawak yakin di pentas negara

Advertisement

RASMI: Bakri (empat kiri) membuat lontaran merasmikan Kejohanan Petanque MAKSAK Sarawak Antara Bahagian 2014 sambil disaksikan Zamahari (dua kiri) di Santubong semalam.

154 peserta berentap merebut kejuaraan Petanque MAKSAK S’wak Antara Bahagian 2014

KUCHING: Seramai 154 peserta mewakili 11 Bahagian seluruh negeri ini berentap merebut kejuaraan pada Kejohanan Petanque MAKSAK Sarawak Antara Bahagian 2014 di Arena Petanque Kampung Santubong bermula semalam.

Peserta terlibat mewakili Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Bintulu, Sibu, Miri, Bintulu, Limbang, Mukah dan Sarikei.

Kejohanan dua hari itu dianjurkan oleh MAKSAK Bahagian Kuching dengan kerjasama Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK).

Manakala kategori yang dipertandingkan adalah beregu berpasukan.

Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Yang Dipertua MAKSAK Sarawak, Bakri Zaini berkata kejohanan itu bertujuan memilih 22 peserta mewakili Sarawak pada Kejohanan Petanque MAKSAK Peringkat Kebangsaan di Pahang pada 24 hingga 27 April depan.

Beliau mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani turut menjelaskan, sukan petanque mempunyai keunikan tersendiri dan bukan sahaja mampu menyihatkan fizikal malah mental para peserta menyertainya.

“Sukan ini mampu menjadikan kita lebih fokus selain berupaya menjadikan tubuh badan peserta lebih sihat,” katanya ketika merasmikan kejohanan itu di Santubong semalam.

Katanya, harapan agar mereka yang berjaya terpilih dapat memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama Sarawak di pentas kebangsaan nanti.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Kuching merangkap Pengerusi MAKSAK Bahagian Kuching, Zamahari Saidi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Naib Yang Dipertua MAKSAK Sarawak, Datu Misnu Taha akan merasmikan penutupan kejohanan petang ini.

Advertisement