Anda di sini

Masyarakat Balingian dahagakan pembangunan

Advertisement

SUDAH USANG: Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian yang perlu diganti dengan bangunan baharu.

Mereka masih memerlukan keperluan asas seperti sekolah, jambatan, bekalan air dan elektrik

MUKAH: Walaupun terdapat perkembangan dari segi pembangunan serta kebajikan masyarakat, namun masih terdapat segelintir kecil masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian masih memerlukan keperluan asas untuk keselesaan mereka.

Tinjaun Utusan Borneo ke kawasan tersebut, jelas kelihatan dan kedengaran daripada mulut masyarakat yang masih dahagakan pembangunan dan keperluan asas untuk keselesaan kehidupan mereka.

Jelas kedengaran masalah yang dihadapi oleh masyarakat Balingian dan perlu diberi perhatian oleh pihak atasan iaitu dari segi bekalan elektrik, air, kemudahan pendidikan (memerlukan sekolah menengah) dan jambatan untuk menghubungkan ke pekan Balingian di Kampung Baru serta Kampung Suyung.

Menurut penduduk di kawasan rumah panjang di Kuala Balingian, keperluan asas yang amat diperlukan adalah bekalan air dan elektrik.

“Jika tiada hujan dan air perigi kering, kami penduduk di kawasan ini terpaksa menggunakan sumber air sungai untuk kegunaan harian.

“Selain itu, kami juga ingin melihat kawasan kami di rumah panjang di sini disambung dengan bekalan elektrik, kesukaran pihak atasan untuk menyambung bekalan elektrik ialah kerana kawasan kami perlu melintasi sungai,” katanya.

Selain itu, penduduk berkata mereka juga amat memerlukan sekolah menengah di kawasan Balingian bagi memudahkan mereka menghantar anak mereka dan mengurangkan kos perbelanjaan anak sekolah.

“Kami rakyat di sini amat memerlukan sekolah menengah, kerana setakat ini kami menghantar anak kami ke sekolah menengah di Mukah dan memerlukan kos yang banyak terutama dari segi pengangkutan.

“Oleh itu, sekiranya terdapat sekolah menengah di kawasan ini, ia mampu meringankan beban kami,” katanya.

Difahamkan, kawasan Kuala Balingian terdapat lima rumah panjang yang masih memerlukan keperluan tersebut.

Manakala penduduk di kampung yang berhampiran pekan Balingian pula memberitahu bahawa mereka sekarang ini memerlukan jambatan baharu kerana jambatan yang ada di kampung sudah usang dan sangat membahayakan penggunanya.

Selain itu, untuk kawasan Mukah, penduduk di Kampung Tellian masih menuntut bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tellian yang sudah lama tidak dapat beroperasi akibat struktur bangunan yang tidak selamat dan sekarang ini murid SK Kampung Tellian masih menumpang di bangunan SK Mukah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Tellian.

Menurut sumber (penduduk Kampung Tellian) pelajar yang bersekolah di Kampung Tellian terpaksa menumpang di bangunan SK Mukah bagi meneruskan sesi pembelajaran.

Sementara itu, penduduk di kawasan Mukah juga memerlukan sebuah lagi stesen minyak kerana di Mukah setakat ini hanya mempunyai dua stesen minyak.

Lazimnya, apabila musim perayaan atau terdapat program yang ‘besar’ dua stesen minyak tersebut susah untuk menampung permintaan kerana menjadi tumpuan orang ramai.

Advertisement