Anda di sini

Futsal Terbuka Piala YB Razi

Advertisement

DEBAK: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Saribas akan menganjurkan Kejohanan Futsal Terbuka Piala YB Mohamad Razi Sitam ADUN Saribas 2014 yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mac ini.

Pengerusi Pertandingan, Saiful Hanizam Suhaini berkata kejohanan tersebut terbuka kepada semua pasukan futsal lelaki di negeri ini dan akan diadakan di Gelanggang Futsal 1Malaysia Debak.

“Penyertaan adalah terbuka untuk kategori lelaki dan terhad kepada 32 pasukan sahaja dan yuran penyertaan sebanyak RM100 akan dikenakan untuk setiap pasukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Saiful, pertandingan ini diadakan secara liga kumpulan untuk pusingan pertama dan kalah mati untuk pusingan berikutnya.

“Kami menjanjikan satu lagi persaingan sengit pada pertandingan kali ini seperti mana dipamerkan pada penganjuran tahun lalu.

“Malah, kejayaan penganjuran bulan lalu menampakkan perubahan positif sukan futsal di sini apabila penyertaan semakin meningkat sekali gus memupuk minat belia-belia menceburi sukan futsal,” jelasnya.

Menurutnya, sambutan menggalakkan pasukan-pasukan menyertai kejohanan bulan lalu menyebabkan penganjur memutuskan untuk meningkatkan jumlah hadiah pada kejohanan kali ini.

“Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta Piala YB Razi dan pingat, diikuti naib juara RM700, piala serta pingat manakala ketiga RM500, piala serta pingat dan keempat membawa pulang RM200 piala serta pingat,” tambahnya.

Justeru, Saiful berharap kejohanan anjuran bersama SABERKAS, JKKK Bungey Hulu dan Laser Light Crew kali ini mampu menarik lebih banyak penyertaan.

Pasukan yang ingin menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan borang penyertaan dengan menghubungi Saiful di talian 013-5781440.

“Tarikh tutup penyertaan pada 27 Mac (Khamis) dan borang hendaklah dihantar kepada penganjur pada atau sebelum tarikh tersebut. Cabutan undi diadakan pada hari sama pada jam 3 petang,” katanya.

Advertisement