Anda di sini

Empat golongan akan diberi perhatian sewajarnya

Advertisement

KUCHING: Empat golongan yang merangkumi warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim akan diberi perhatian sewajarnya agar mendapat bantuan daripada kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini kerana pada masa sekarang masih ramai di kalangan golongan tersebut tercicir daripada menerima bantuan.

Sehubungan itu menurutnya, Pusat Khidmat DUN Demak Laut mewujudkan pangkalan data agar maklumat tentang golongan sasar dapat dikumpul untuk mendapat bantuan.

“Saya sendiri di sini (DUN Demak Laut) mempunyai program bantuan yang menumpukan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU dan anak yatim.

“Program berterusan ini sudah dilaksana sejak saya menjadi wakil rakyat kawasan ini.

“Kami juga mewujudkan pangkalan data untuk memastikan tiada golongan memerlukan tercicir,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan untuk ibu tunggal, anak yatim dan OKU di Kampung Tanjong Bako di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap kampung di DUN Demak Laut turut mempunyai senarai individu yang layak untuk menerima bantuan.

“Tahun lepas sahaja kami telah menyampaikan bantuan kepada lebih 3,000 warga emas di seluruh DUN Demak Laut.

“Tumpuan kami sekarang adalah untuk menyalurkan bantuan kepada warga emas, anak yatim dan OKU,” ujarnya.

Majlis semalam menyaksikan seramai 54 individu menerima bantuan yang merangkumi 15 ibu tunggal, tiga OKU dan 36 anak yatim.

Advertisement