Anda di sini

Belia Dayak diminta tidak burukkan kerajaan di laman sosial

Advertisement

SIBU: Belia Dayak diminta supaya tidak memburuk-burukkan kerajaan dalam laman sosial.

Timbalan Presiden Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS) Alexander Frederick berkata, terdapat saluran yang betul untuk mengutarakan masalah dan kesulitan dihadapi belia Dayak di negeri ini dan bukannya melalui laman sosial seperti Facebook.

“Terdapat beberapa pertubuhan Dayak di negeri ini yang sedia ada dan boleh digunakan sebagai suara untuk mewakili belia Dayak, contohnya seperti PEBEDAS.

“Jangan disebabkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan, anda terus marahkan kerajaan di laman sosial.

“Cuba gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan masalah anda,” katanya semasa menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PEBEDAS Cawangan Sibu di sini, petang semalam.

Hadir sama Naib Presiden PEBEDAS Terence Tan, Pengerusi PEBEDAS Cawangan Sibu Mathrew Moilan Linggang, Timbalan Pengerusi PEBEDAS Cawangan Sibu Willie Thomas serta ahli-ahli jawatankuasa PEBEDAS.

Alexander berkata, sekarang ramai belia Dayak di negeri ini mempunyai akaun Facebook dan ini menunjukkan satu perkembangan positif dalam pembangunan belia Dayak.

“Jangan gunakan kesempatan itu untuk menyebarkan agenda-agenda yang negatif terhadap kerajaan.

“Jika anda mempunyai sesuatu masalah cuba salurkan kepada saluran yang betul.

“Justeru, semangat kesukarelaan dalam pertubuhan sangat penting. Jika kuat dalam pertubuhan serta ramai yang menjadi ahli maka suara kita akan kuat.

“Dengan menyertai PEBEDAS, masalah anda dapat kita utarakan kepada pihak berkenaan.

“Berhentilah menggunakan Facebook untuk meluahkan rasa tidak puas hati anda,” tegasnya.

Menurutnya, pertubuhan-pertubuhan Dayak boleh dijadikan sebagai landasan membangun dan menangani apa-apa masalah yang dihadapi masyarakat Dayak khususnya golongan belia.

“Pertubuhan adalah badan kesukarelaan dan menjurus kepada pembangunan sesuatu komuniti. Semakin ramai kita dalam sesuatu pertubuhan maka semakin kuatlah suara kita,” jelasnya.

Sementara itu, Alexander melahirkan rasa kecewa terhadap penyertaan belia Dayak dalam aktiviti kesukarelaan.

Katanya kehadiran ahli-ahli PEBEDAS pada AGM tersebut sangat tidak memberangsangkan walaupun sudah dimaklumkan.

“Ini bukan salah orang lain tetapi salah kita sendiri. Siapa lagi yang boleh memajukan Dayak jika bukan kita sendiri.

“Kesedaran masyarakat Dayak mengenai aktiviti kesukarelaan masih rendah, justeru ini memperlihatkan segelintirnya tersalah saluran apabila mengutarakan masalah tidak puas hati.

“Besar manfaatnya jika kita dalam satu suara yang kuat. PEBEDAS sebenarnya memainkan peranan penting terhadap belia Dayak namun malangnya masih ramai belia Dayak tidak tahu menggunakan peranannya,” katanya dengan nada kecewa.

Beliau berharap PEBEDAS selepas ini dapat mempromosikan pertubuhan itu kepada belia-belia Dayak di negeri ini khususnya di Sibu.

Menyentuh mengenai perancangan PEBEDAS, Alexander berharap pihaknya dapat memohon sebidang tanah untuk mendirikan premisnya sendiri di sini atau di kawasan lain.

“Penaung PEBEDAS adalah Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing. Adalah tidak salah bagi kita memohon kerajaan negeri mendapatkan tanah bagi mendirikan premis kita sendiri. Ini bagi memudahkan kita menjalankan aktiviti berkaitan.

“Itu merupakan perancangan jangka panjang. Kalau tahun ini tidak dapat kita minta tahun-tahun kemudian,” katanya.

Antara agenda pada mesyuarat itu adalah memperkenal ahli Majlis Tertinggi Cawangan Sibu kepada ahli-ahli baharu dan juga melancarkan misi dan visi PEBEDAS Sibu.

Selain itu, diadakan juga perbincangan mengenai persediaan untuk menyertai AGM PEBEDAS pada 29 Mac ini yang diadakan di Kuching.

Belia-belia yang berumur 15 hingga 40 tahun digesa supaya menjadi ahli PEBEDAS dan yurannya RM15 bagi pendaftaran baharu manakala yuran tahunan ialah RM10.

Advertisement