Anda di sini

Projek menara telekom di Jalan Poh Yew bukan bidang kuasa MPS

Advertisement

SIBU: Pelaksanaan projek mendirikan menara telekomunikasi di Jalan Poh Yew bukan di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wong Kee Yew berkata pihak majlis diberi kuasa untuk menyelenggarakan kawasan terbuka dan tempat letak kereta oleh kerajaan negeri.

“Namun, di luar bidang kuasa pihak majlis sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan kawasan terbabit bagi tujuan lain,” katanya ditemui di sini semalam.

Wong merujuk kepada bantahan yang dilakukan oleh penduduk Jalan Poh Yew baru-baru ini, berhubung pembinaan menara telekomunikasi di taman permainan dan kawasan perumahan.

Penduduk melahirkan rasa bimbang pembinaan menara telekomunikasi dikhuatiri memancarkan gelombang radiasi  menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan penduduk.

Selain itu, penduduk menggantungkan sepanduk sebagai tanda membantah pembinaan menara telekomunikasi di taman permainan kanak-kanak dan kawasan perumahan.

Penduduk turut mendakwa syarikat berkenaan tidak pernah mengadakan rundingan dan tidak mengambil kira sensitiviti penduduk sebelum mendirikan menara telekomunikasi itu.

Oleh itu, penduduk berharap syarikat terbabit memindahkan menara telekomunikasi itu.

Berhubung isu menara telekomunikasi di Jalan Poh Yew, Wong memberitahu, beliau mengumpul maklum balas penduduk sebelum menulis surat kepada syarikat menara telekomunikasi itu.

“Pihak majlis akan menyampaikan mesej kepada syarikat terbabit bahawa menara telekomunikasi yang didirikan tidak sesuai di kawasan taman permainan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, untuk memindahkan menara telekomunikasi itu terpulang kepada syarikat terbabit untuk membuat keputusan lanjut,” katanya.

Advertisement