Anda di sini

Polis tahan tujuh suspek, rampas syabu RM900,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan tujuh suspek termasuk enam warga asing danmerampas 4.9 kilogram dadah Syabu bernilai RM900,000 dalam enam operasi di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata sepanjang operasi sejak 20 Feb hingga semalam, polis  menahan tiga lelaki Nigeria, tiga wanita warga Uganda dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 dan 42 tahun.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah menyeludup dadah menerusi perkhidmatan pos laju dan kurier dengan menyorokkannya dalam pelbagai baranganpersendirian termasuk peralatan cakera padat DVD.

“Kumpulan ini menggunakan taktik menyeludup bekalan dadah dalam jumlah yang kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, namun ia dilakukan secara kerap.

“Kita mendapati ketiga-tiga lelaki Nigeria itu adalah penuntut di sebuah kolej di Lembah Klang namun siasatan masih diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Noor Rashid berkata latar belakang tiga wanita Uganda itu masih disiasat.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan.

Menurutnya sepanjang dua bulan lepas, JSJN menahan 33,702 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berbanding 30,293 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Jumlah tangkapan meningkat sebanyak 11 peratus, katanya. — Bernama

Advertisement