Anda di sini

Pelan kontingensi air untuk Seremban berhasil

Advertisement

SEREMBAN: Pemindahan bekalan air mentah dari empangan Triang, Jelebu ke Loji Rawatan Air (LRA) baharu Ngoi-Ngoi, Pantai dekat sini, melalui paip dan masuk ke terowong yang disalurkan secara graviti sepanjang 12.5 kilometer dijangka beroperasi sepenuhnya dua minggu lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata apabila beroperasi sepenuhnya, LRA Ngoi-Ngoi dapat mengeluarkan lebih 30 juta gelen air bersih sehari untuk keperluan kawasan Seremban Barat seperti Nilai dan sekitarnya, melibatkan lebih 100,000 pengguna.

“Ini adalah pelan kontingensi yang dibuat untuk mengatasi masalah yang kita hadapi dalam menyediakan keperluan bekalan air di kawasan itu yang kini rancak membangun.

“Kita bersyukur kerana rancangan kecemasan kita telah pun dapat dilakukan di mana bekalan air mentah dari empangan Triang telah sampai ke Seremban,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemancuran terowong berkenaan di LRA Ngoi-Ngoi dekat sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Zulkifli Ibrahim.

Mohamad berkata dengan beroperasinya LRA Ngoi-Ngoi dalam masa dua minggu lagi, kebergantungan kepada LRA Sungai Terip dekat sini yang membekalkan 100 peratus air ke daerah Seremban dapat dikurangkan kepada 50 peratus.

Dengan pengurangan itu, katanya punca air Empangan Sungai Terip dari Empangan Kelinci dan Empangan Talang juga dapat dikurangkan.

“Dengan itu, punca air empangan Talang dari ulu Sungai Muar yang dipam 10 juta gelen sehari juga akan dihentikan. Diharapkan paras air di ulu Sungai Muar akan naik dan mencukupi untuk digunakan oleh lima loji di jajaran Sungai Muar termasuk loji Sungai Gemas yang menghadapi penurunan paras air sekarang ini.

“Jika paras air di Sungai Muar masih lagi rendah selepas dihentikan pam ke Empangan Talang, kita akan secara perlahan melepaskan air dari Empangan Talang ke Sungai Muar. Ini adalah rancangan alternatif yang perlu kita ambil sekiranya aras air di loji rawatan air Gemas masih tidak mencukupi untuk diproses,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata limpahan air di Ngoi-Ngoi yang masuk ke Sungai Batang Benar dapat menambah kapasiti kolam takungan di Bukit Gun, Rasah ke paras maksimum yang akan menstabilkan bekalan air ke kawasan Mambau dan Sendayan.

Lebihan air dari Sungai Batang Benar juga akan menstabilkan paras air di Sungai Linggi untuk kegunaan loji air Sungai Linggi yang berkapasiti 25 juta gelen sehari bagi membekal air ke kawasan Port Dickson, Lukut dan Rantau. — Bernama

Advertisement