Anda di sini

NGO diyakini punya kepakaran pulihkan trauma mangsa pemerdagangan orang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini diyakini mempunyai kepakaran untuk melindungi dan mengurus mangsa pemerdagangan orang dan sekali gus dapat membantu kerajaan mengambil alih peranan berkenaan.

Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Muhd Khair Razman Mohamed Anuar berkata sekiranya peranan itu dipikul oleh NGO, kerajaan boleh memberi tumpuan kepada aspek pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan.

“Di negara luar, organisasi antarabangsa cenderung memberikan urusan perlindungan mangsa pemerdagangan orang kepada NGO memandangkan ia merupakan permasalahan yang harus diberikan fokus dalam pengendaliannya.

“Tetapi di Malaysia, kerajaan yang menguruskan sepenuhnya dari aspek perlindungan, pendakwaan, pencegahan dan rehabilitasi yang diseliakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Ketika ini terdapat enam rumah perlindungan sedia ada diuruskan Jabatan Pembangunan Wanita, KPWKM. “Bagaimanapun, sudah tiba masanya NGO diberi kepercayaan untuk mengendalikan trauma yang dihadapi mangsa pemerdagangan orang kerana melalui langkah itu kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada aspek lain,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff berkata Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan pembiayaan RM801,000 bagi projek perintis ‘Rumah Perlindungan Yang Disokong NGO’ untuk mangsa pemerdagangan manusia.

Katanya rumah perlindungan yang mendapat sokongan NGO akan diurus Jabatan Pembangunan Wanita, di bawah KPWKM dan dibantu sepenuhnya oleh NGO yang dilantik.

Enam rumah perlindungan sedia ada juga diwartakan dan diletakkan di bawah seliaan KPWKM, kementerian peneraju bagi Jawatankuasa Perlindungan dan Pemulihan Mangsa Pemerdagangan Orang di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan MAPO, 695 kes pemerdagangan orang direkodkan pada Februari 2008 hingga Oktober tahun lepas, dan daripada jumlah itu, 4,160 orang diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO), manakala 1,588 orang mendapat Perintah Perlindungan (PO).

Dalam tempoh sama, warga Indonesia merekodkan jumlah tertinggi yang disyaki diperdagangkan dan diberikan perintah IPO iaitu 1,074 orang diikuti Vietnam (735), China (544), Filipina (431), Sri Lanka (339) dan Thailand (258). — Bernama

Advertisement