Anda di sini

Majlis Penasihat Gender bakal diwujudkan, kata Rohani

Advertisement

PUTRAJAYA: Majlis Penasihat Gender bakal diwujudkan dalam masa terdekat untuk membantu kerajaan mematuhi kesaksamaan gender di peringkat negara dan antarabangsa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata majlis itu, yang akan meningkatkan peranan wanita dalam sektor ekonomi, akan diletakkan di bawah kementerian.

“Majlis ini adalah kesinambungan Majlis Penasihat Kebangsaan mengenai Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NaCIWID) yang pernah diwujudkan beberapa tahun lepas, namun kini skopnya mengikut pendekatan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa bertemakan Kesaksamaan Wanita, Kemajuan Untuk Semua di kementerian di sini, semalam.

Rohani berkata walaupun majlis itu dilihat memberi lebih tumpuan kepada isu wanita, namun hakikatnya semua isu sensitiviti akan disentuh tanpa mengira gender.

“Kita guna tema gender sebab ingin meluaskannya…isu berkaitan lelaki juga akan dibincangkan kerana lelaki dan wanita bersama dalam pembangunan negara,” katanya.

Rohani berkata mereka yang dilantik sebagai rujukan di bawah majlis itu merupakan tokoh dan pakar dalam hal berkaitan kesaksamaan gender.

Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata kementerian telah meningkatkan sasaran penglibatan wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam daripada 30 peratus kepada 50 peratus setelah sasaran asal iaitu 30 peratus, yang diumumkan pada 2004, dapat dicapai.

“Bilangan wanita yang menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) telah meningkat daripada 18.8 peratus pada 2004 kepada 25.2 peratus (2006), 31.7 peratus (2012) dan 33.7 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Di bawah Program Pengarah Wanita yang bermula pada 2012 pula, seramai 721 wanita menyertai program itu dan sepanjang tahun lepas, seramai 93 orang berjaya menjadi anggota lembaga pengarah dalam syarikat disenarai awam.

Menurutnya program itu juga diteruskan tahun ini, dengan RM4.5 juta diperuntukkan dalam Bajet 2014 dengan sasaran 250 peserta orang,kata Rohani. — Bernama

Advertisement