Anda di sini

Kes Muhdalena: Ketua Jabatan Psikiatri perlu hadir mahkamah

Advertisement

PUTRAJAYA: Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Putrajaya Dr Azizul Awaluddin diminta hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Mac untuk memberi keterangan pada perbicaraan Muhdalena Ahmad yang menghadapi empat pertuduhan termasuk memiliki sebilah pedang.

Peguam  M. Visvanathan, yang mewakili Muhdalena, memohon supaya Dr Azizul disapina untuk hadir ke mahkamah bagi mengesahkan pakar psikiatri Umi Adzlin Silim yang memeriksa Muhdalena, tidak dapat datang ke mahkamah kerana sedangmenjalani latihan di Melbourne, Australia.

Umi Adzlin dikatakan pergi menjalani latihan pada 17 Feb tahun ini dan dijangka pulang ke Malaysia pada 30 Nov tahun ini.

Visvanathan memohon untuk mengemukakan sebagai keterangan dua laporan psikiatri dibuat Umi Adzlin yang merawat Muhdalena semasa wanita itu dirawat di wad Hospital Putrajaya pada Julai 2012.

Hakim Mohamed Kamil Nizam membenarkan permohonan itu dan mengarahkan Dr Azizul hadir ke mahkamah pada tarikh perbicaraan akan datang.

Mohamed Kamil turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela mengenai sama ada laporan psikiatri Umi Adzlin boleh diterima sebagai keterangan menerusi Dr Azizul mengikut Seksyen 32 (1) (b) AktaKeterangan 1950.

Pada 10 Jan tahun ini, Muhdalena, 29, diperintah oleh Mahkamah Sesyen untuk membela diri terhadap empat pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, AktaBahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959.

Dia dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad dalam kawasan Kompleks ‘B’ Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 9Julai 2012.

Muhdalena juga dituduh  memiliki senjata (sebilah pedang) di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan, dia dituduh mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagalmematuhi nasihat seorang menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelummemasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan.

Muhdalena dan Khalil Afendi Abd Hamid, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak. KhalilAfendi meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan dialami dalam insiden itu. — Bernama

Advertisement