Anda di sini

JPNIN sasar satu mediator komuniti dalam setiap KRT

Advertisement

Mediator berperanan menangani konflik dalam masyarakat

KOTA BAHARU: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menyasarkan sekurang-kurangnya seorang mediator ditempatkan di setiap kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menangani konflik dalam masyarakat.

Pengarah Pengurusan Perpaduan jabatan itu, Zulkifli Hashim berkata mediator komuniti akan bertindak sebagai orang tengah untuk membantu menyelesaikan konflik yang berlaku dalam masyarakat di kawasan mereka.

“Mediator ini akan dilatih dan mampu menyelesaikan perselisihan faham antara kaum, antara keluarga ataupun dalam kalangan kaum yang sama sebelum perselisihan itu menjadi isu besar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pusat Sidang Mediator Komuniti Peringkat Negeri Kelantan 2014 di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPNIN Datuk Azman Amin Hassan dan turut dihadiri Pengarah JPNIN Kelantan Safidah Abu Samah.

Zulkifli berkata sehingga kini terdapat 874 mediator di seluruh negara.

“Kita dalam usaha menambah bilangan mediator di seluruh negara dan mungkin sasaran ini dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.

Sementara itu, Safidah berkata sehingga kini terdapat 38 mediator di seluruh Kelantan.

“Kita mempunyai mediator di semua daerah di negeri ini yang akan berusaha membantu menangani masalah kejiranan.

“Masalah kejiranan di negeri ini masih terkawal,” katanya. — Bernama

Advertisement