Anda di sini

Pegawai kebajikan dirompak dua lelaki

Advertisement

TAWAU: Seorang wanita berusia 29 tahun terperanjat apabila diserbu dua perompak bersenjatakan pahat besi dan pisau di bilik sewanya di Air Panas, di sini kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah, kedua-dua suspek disyaki masuk ke bilik pegawai kebajikan itu melalui tingkap sebelum merompak mangsa.

“Salah seorang suspek menghunuskan pisau di pinggang mangsa,” katanya ketika mengulas insiden yang berlaku di atas premis makanan terkenal, Kafe Kak Midah.

Awang berkata, selepas mengambil telefon bimbit Samsung, satu gelang emas dan kasut sukan Dunlop milik mangsa, kedua-dua suspek terus melarikan diri.

Beliau berkata, mereka disyaki melarikan diri menerusi pintu hadapan dan ada saksi yang melihat kedua-dua suspek semasa meninggalkan bilik mangsa.

Katanya, kedua-dua suspek berjaya ditahan polis selang beberapa minit selepas kejadian terbabit berlaku dan turut merampas semula barang-barang mangsa.

“Suspek pertama berusia 24 tahun, sementara suspek kedua pula berumur 40 tahun yang diberkas hasil makluman awam dan kepantasan anggota kita bertindak.

“Hasil pemantauan mendapati kedua-dua suspek bersembunyi di sebalik tayar lori minyak yang diletakkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Awang berkata, kedua-dua suspek juga didapati cuba melarikan diri ke arah Jalan Sg Tanjong berhampiran Unijaya sebelum menyerah diri.

Menurutnya, pemeriksaan badan selanjutnya menemukan polis dengan barang-barang milik mangsa semula dan dicam oleh mangsa sebagai miliknya.

“Pemeriksaan di tempat persembunyian kedua-dua suspek juga membawa kepada penemuan sebilah pahat besi yang disembunyikan di bahagian tayar lori,” katanya.

Awang berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes rompakan berkumpulan bersenjata.

 

 

Advertisement