Anda di sini

Lapor jika ragu status halal ayam sembelih: Ahmad Bashah

Advertisement

KLANG: Pengguna perlu segera melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ragu dengan status halal ayam sembelihan bagi membolehkan tindakan diambil, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata pengguna juga perlu bijak menggunakan kuasa mereka dengan hanya membeli ayam diyakini status halalnya dari pusat penyembelihan yang mereka yakin dengan prosedur sembelihannya.

Katanya KPDNKK bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memantau isu tersebut dan orang ramai boleh menyalurkan aduan mengenai keraguan status halal ayam untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan Tesco Extra Klang di sini semalam, ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar berhubung status halal ayam di pusat penyembelihan seluruh negara.

“Penentuan status halal bagi pusat penyembelihan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dan kita (KPDNKK) hanya memantau dari segi kawalan harga dan perkara berkaitan, jadi dalam isu ini, JAKIM telah pun mengambil tindakan lanjut.

“Bagi pengguna, jika mereka masih berasa ragu-ragu tentang tempat sembelihan yang mereka mahu beli, lebih baik beralih kepada premis yang mereka yakin status halalnya,” kata Ahmad Bashah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata pengendali pasaraya besar di negara ini diminta meningkatkan kadar ‘store keeping unit’ (SKU) bagi barangan keluaran industri kecil dan sederhana dalam usaha membantu kerajaan memperkasakan produk tempatan.

Katanya, penetapan kadar 30 peratus SKU dalam Garis Panduan Penyertaan Asing Sektor Perdagangan Pengedaran (Pindaan) 2010 bagi setiap pasaraya besar belum lagi dicapai, namun kebanyakan pengendali pasar raya sedang berusaha ke arah itu dan ia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Pasaraya besar Tesco sendiri sudah berjaya mencapai sehingga 17 peratus SKU sejak mula diperkenalkan di negara ini dan kita harap ia akan meningkat pada masa depan sekali gus membantu perkembangan produk keluaran tempatan,” katanya. — Bernama

Advertisement