Anda di sini

Gantung diri dalam belukar

Advertisement

KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang lelaki yang mempunyai masalah keluarga berakhir tragedi selepas mayat mangsa ditemui tergantung di bawah sebatang pokok, dipercayai membunuh diri di sebuah hutan belukar, kira-kira 100 meter dari premis francais makanan segera di Jalan Sulaman, di sini, malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Zulkifli Tinggal, 44, berasal dari Kampung Contoh Suang Parai, Inanam itu dipercayai ditemui beberapa ahli keluarganya di tempat kejadian kira-kira jam 10.55 malam.

Sebelum insiden berkenaan, mangsa dikatakan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anak-anaknya supaya datang ke lokasi itu untuk menemuinya.

Pada mulanya, anak mangsa menyangkakan kiriman SMS terbabit hanya sebagai gurauan namun bimbang perkara buruk berlaku, ahli keluarganya kemudiannya bertindak ke lokasi terbabit untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian, mangsa ditemui dengan kesan leher tergantung menggunakan seutas tali nylon berwarna hijau sebelum ahli keluarganya bergegas memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika ditemui mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.

Menurut beliau, siasatan awal kes berkenaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan mempunyai masalah keluarga. Pihak pasukan perubatan mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan terjerut tali dan mayatnya dihantar bagi proses bedah siasat,” katanya.

 

 

 

Advertisement