Anda di sini

Galak kaum Cina di Sabah sertai pasukan polis

Advertisement

HAMZA (dua kiri) sempat beramah mesra dengan pegawai-pegawai yang menerima sijil pentauliahan pada majlis yang diadakan di IPK Sabah, Kepayan kelmarin.

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah berharap lebih ramai kaum Cina akan menyertai pasukan polis sebagai langkah menambah baik perkhidmatan pasukan keselamatan itu di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Hamza Taib berkata, selain menyokong pucuk pimpinan dalam aspek itu, pengambilan kaum berkenaan juga dilihat mampu memajmukkan kesepakatan di kalangan anggota atau pegawai dalam melaksana tugasan harian.

Untuk rekod menurut beliau, di Sabah kira-kira 5 peratus daripada 10,000 anggota polis adalah terdiri daripada kaum Cina.

“Diharap dengan pengambilan khas buat kaum Cina seperti yang diumumkan oleh pucuk pimpinan mampu memberikan impak positif kepada perkhidmatan polis.

“Kita juga menggesa kepada kaum Cina di negeri ini (yang berkelayakan) agar menyertai PDRM,” katanya selepas diminta mengulas mengenai pengumuman eksesais pengambilan khas jawatan (lelaki dan wanita) konstabel bagi menggalakkan kaum Cina menyertai PDRM tahun ini.

Hamza menambah, borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web PDRM di www.rmp.gov.my dan borang yang lengkap diisi dihantar ke balai-balai polis berdekatan atau merujuk kepada Unit Perjawatan Pengambilan di Bukit Aman.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Perkhidmatan Awam (ARKAB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan kelmarin.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mamah.

Sementara itu, mengulas berhubung majlis terbabit, Hamzah berkata ARKAB adalah salah satu langkah pihak kontinjen untuk menangani mana-mana anggota yang terlibat dengan pelbagai masalah sebelum khidmat kaunseling.

Menurutnya, seramai 42 individu ditauliahkan sebagai pembimbing bagi IPK Sabah untuk memainkan peranan berkenaan di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia.

 

Advertisement