Anda di sini

40 stesen cuaca automatik dibina di daerah tahun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 stesen cuaca automatik dibina di setiap daerah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi membantu ketepatan ramalan dan keperluan pembangunan.   Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata dengan adanya stesen itu, lebih banyak pencerapan cuaca dapat dilakukan dan membolehkan ramalan yang lebih tepat.

“Ketika ini, kita mempunyai 108 stesen cuaca automatik…projek ini sedang dilaksanakan dan bajet telahpun diterima.

“Selain membantu ketepatan ramalan, ia juga satu keperluan pembangunan.

Contohnya, pertanian secara besar-besaran yang memerlukan banyak maklumat untuk kajian kebolehlaksanaan.

“Kita perlukan contoh itu untuk tahu tanaman itu sesuai atau tidak,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan taklimat mengenai ‘Perubahan cuaca di Malaysia’ di Wisma Bernama di sini, semalam.

Sementara itu, Che Gayah berkata kerajaan telah melaksanakan operasi pembenihan awan di luar kriteria bencana kemarau kerana prihatin masalah air kritikal yang melanda beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.

“Harus difahami tahap-tahap kemarau adalah waspada, amaran, bahaya dan penamatan. Status kemarau meteorologi terkini dikategorikan sebagai waspada, namun dijangka tidak menjadi lebih serius.

“Operasi standard prosedur (SOP) untuk kita lakukan pembenihan awan adalah  selepas bencana kemarau diisytihar. Buat ketika ini, kita masih belum sampai tahap itu.

“Tetapi kerana musim kering kali ini dan disebabkan masalah air, operasi pembenihan telah dilakukan dan berjaya pada 3 dan 4 Mac lepas dengan hujan lebat di beberapa kawasan,” katanya.

Usaha itu dijayakan Jabatan Meteorologi Malaysia dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melibatkan hampir 8,000 liter air dan 1,200 kilogram garam dengan kos penerbangan sebanyak RM160,000.

Che Gayah berkata sebanyak 129 operasi pembenihan awan telah dilakukan sejak 1973 dengan kebanyakan operasi dibiayai pengurusan empangan atas permintaan menggunakan kapal terbang komersil.

Ditanya mengenai kemunginan berlaku lagi jerebu, beliau menjelaskan ia tidak mustahil jika masih ada aktiviti pembakaran terbuka di negara ini dan negara berdekatan.

“Malaysia jarang mendapat fenomena jerebu pada awal tahun, namun ia berlaku ketika ini disebabkan keadaan yang amat kering dan negara sedang mengalami penghujung musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pertengahan Mac sebelum peralihan monsun bermula.

“Selalunya, jerebu Malaysia pada masa musim kering berlaku dari Jun hingga September. Itu yang kita namakan jerebu merentas sempada dari negara berdekatan. Kalau berlaku dalam tempoh itu, kita akan dapat (jerebu).

“Kita kena bersedia dari sekarang. Apa yang penting kita mengharapkan hujan pada waktu itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Februari lepas mencatatkan sejarah menerima hujan paling kurang secara purata di negara ini.

“Terdapat julat tinggi dengan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia terima kurang 80 peratus hujan, di Sarawak kurang 60 peratus, cuma di Sabah terlebih terima hujan, jadi tiada masalah air.

“Paling kurang menerima hujan ialah Alor Setar iaitu cuma 60 milimeter sebulan dan paling tinggi di Kuching iaitu 500 milimeter sebulan, di mana Kuching juga antara kawasan paling lembap di Malaysia yang menerima 4,000 milimeter hujan setahun berbanding tempat lain iaitu kira-kira 2,000 hingga 4,000 milimeter setahun,” katanya. — Bernama

Advertisement