Anda di sini

Zon Baram Tengah muncul juara Pesta Sukan MSSR

Advertisement

JUARA: Pengerusi Zon Baram Tengah, Badrol Sari (kanan) menerima piala johan keseluruhan daripada Yunus sambil disaksikan tetamu yang lain.

MARUDI: Zon Baram Tengah muncul juara keseluruhan pada Pesta Sukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Rendah (MSSR) peringkat daerah Baram berlangsung selama tiga hari berakhir kelmarin.

Naib juara dimenangi Zon Tinjar dan Zon Tutoh-Apoh terpaksa akur berada di tempat ketiga.

Tempat keempat dan kelima Zon Baram Hilir dan Zon Baram Hulu.

Pesta MSSR itu diakhiri dengan Pertandingan Nyanyian Bintang Kecil (Karaoke) antara zon yang diadakan di Dewan Suarah Baram di sini malam kelmarin.

Majlis penangguhan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Yunus Apok yang mewakili Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran.

Dalam ucapan ringkasnya, Yunus melahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada para atlet yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara selama tiga hari dalam suasana harmoni dan penuh semangat kesukanan, berpasukan dan kerjasama serta setiakawan.

Beliau turut memuji usaha guru-guru dan pegawai terlibat dalam usaha memastikan pesta yang menggabungkan lima zon di Baram itu berjalan dengan lancar.

Yunus berharap melalui sukan tersebut, perpaduan dan kerjasama kalangan murid dan guru-guru terus berkekalan.

Dalam pada itu, pertandingan karaoke kategori lelaki menyaksikan Brian Ingan Lavung mewakili Zon Tutoh- Apoh dan murid di SK Long Atip muncul pemenang pertama.

Tempat kedua dimenangi Anderson Tadem dari Zon Baram Tengah (SK Long Pilah) dan ketiga Paulus Gallang dari Zon Baram Hilir (SJK Sungai Jaong).

Bagi kategori perempuan, tempat pertama jatuh kepada Merciana Usat mewakili Zon Baram Hilir (SK Dato Sharif Hamid), tempat kedua imberly George dari Zon Baram Hulu (SK Long Makabar) dan ketiga Nigellia Arenny Zon Baram Tengah (SK Ubong Imang).

Dalam pertandingan boria, johan dimenangi oleh Zon Tutoh-Apoh manakala naib johan Zon Baram Tengah dan tempat ketiga jatuh kepada Zon Baram Hulu.

Olahragawan dimenangi Lucas Wan dari Baram Tengah dan juga olahragawati dimenangi Dolly Uring dari Zon Baram Tengah.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Baram, Jalong Ugat Wan, Pengerusi MGB, Sameuil Iwat serta pengerusi zon masing-masing.

Advertisement