Anda di sini

Peranan ahli majlis diperluas dengan beri penekanan kepada pembangunan komuniti

Advertisement

TANDA INGATAN: Hussaini menyerahkan cenderamata kepada Awang Tengah (tiga kiri) sambil disaksikan Maria (kiri), Henry dan Dr Penguang di Limbang semalam.

LAWAS: Peranan ahli majlis yang dilantik di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kini diperluaskan secara holistik dengan memberi penekanan kepada pembangunan komuniti sejajar dengan langkah kerajaan negeri meluaskan skop Kementerian Kerajaan Tempatan yang merangkumi Pembangunan Komuniti.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan amat menekankan betapa pentingnya kestabilan sosial dengan  mengambli langkah memperluaskan skop Kementerian Kerajaan Tempatan dengan menambah Pembangunan Komuniti.

Beliau berkata langkah itu akan mampu memberi keseimbangan kepada pembangunan yang bukan sahaja menekankan kepada pembangunan prasarana dan infrastruktur tetapi juga pembangunan nilai budaya yang memerlukan peranan semua ahli majlis untuk merealisasikannya.

“Kegiatan komuniti akan diperbanyakkan dan diberi tanggungjawab kepada PBT dengan memerlukan kerjasama daripada Pejabat Residen dan Daerah.

“Ahli majlis bukan sahaja memberi penekanan kepada tugas-tugas am, tetapi menekankan kepada pembangunan sosial melalui jawatankuasa khusus pembangunan komuniti di setiap PBT di negeri ini,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi Majlis Daerah Lawas di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datu Dr Penguang Manggil, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim, Setiausaha MDL Zulkifli Sahari dan ahli majlis MDL.

Awang Tengah berkata lagi terdapat juga ahli majlis yang dilantik bukan sahaja daripada parti politik Barisan Nasional (BN) tetapi juga golongan profesional dan pertubuhan bukan kerajan (NGO).

“Mereka (ahli majlis) menjadi penghubung kerajaan dan rakyat, melalui kerajaan tempatan selain kerajaan pusat dan negeri,” tambahnya.

Beliau berkata pelantikan ahli majlis yang ditambah keanggotaanya daripada 25 kepada 30 akan memberi ruang dan peluang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada pembangunan Lawas.

“Kita yakin pelantikan ini akan menjadikan setiap ahli majlis lebih fokus dan menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan dan semua kepimpinan di Lawas dalam memastikan pembangunan yang dilaksana terancang dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Selain itu beliau yakin ahli majlis ini akan melahirkan idea-idea baharu demi membolehkan mereka merancang apa yang perlu dilakukan untuk mempercepatkan pembangunan jangka pendek dan panjang merangkumi semua aspek.

“Ia termasuk memastikan keadaan Lawas selamat untuk dikunjungi sebagai kawasan riadah dan masyarakat dapat terus hidup harmoni dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Menurut beliau peranan ahli majlis amat besar dan bukan setakat mengutarakan soal jambatan dan jalan raya tetapi juga mencari kaedah terbaik untuk memastikan rakyat dapat hidup bersatu padu dan harmoni.

Dalam perkembangan lain ditanya berhubung trend peningkatan dalam kes demam denggi yang dicatatkan di kawasan utara Sarawak termasuk Limbang dan Lawas awal tahun ini, beliau berkata kesedaran rakyat mengenai kebersihan perlu diperluaskan.

“Rakyat harus mengambil berat soal kebersihan termasuk membersihkan kawasan longkang dan tidak membuang tin-tin kosong di merata tempat yang boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes.

“Bukan saja kesedaran, tetapi kerjasama dan tindakan bersama perlu dijalankan dalam menangani wabak denggi.

“Malah  PBT juga perlu berusaha memastikan wabak tidak merebak,” tegasnya.

Mengulas mengenai statistik demam denggi sebanyak 97 di Lawas dan 11 di Limbang yang direkodkan Jawatankuasa Demam Denggi Bahagian sepanjang tahun lepas, Awang Tengah berkata kesedaran individu perlu  dalam meningkatkan kesedaran menangani wabak denggi.

“Demam denggi ini bukan sahaja berlaku di bandar tetapi di kem pembalakan, kerajaan sentiasa mengadakan kempen kesedaran dan semua ini akan memberi kesan baik jika setiap individu dalam masyarakat ada kesedaran untuk menangani penyakit tersebut,” katanya.

Advertisement