Anda di sini

Penghijrahan dari luar bandar ke bandar dikaji

Advertisement

Untuk elak kepupusan penduduk luar bandar khasnya generasi muda seperti di Jepun berlaku di M’sia

KUCHING: Bagi mengelak kepupusan penduduk luar bandar khasnya generasi muda seperti di Jepun berlaku di Malaysia, satu kajian dilakukan oleh Dr Ichikawa Masahiro daripada Fakulti Pertanian, Universiti Kochi, Jepun.

Menurut Ichikawa, kajian bertajuk ‘Possible Degradation of Rural Areas due to Depopulation and Aging in Sarawak: Examination based on Similar Observations made in Rural Areas in Kochi, Japan’ itu bertujuan membandingkan keadaan luar bandar di Sarawak pada masa sekarang dengan Miri sebagai tempat kajian kes dengan Kochi di Jepun.

Jelasnya, perkembangan Malaysia yang begitu pesat merupakan faktor keadaan di Jepun itu tidak mustahil akan berlaku di sini.

“Oleh itu, tujuan saya mengadakan kajian seterusnya ceramah ini adalah bagi membanding dan memastikan agar penduduk di negeri dan negara ini dapat didedahkan dengan perkara yang berlaku di Jepun pada masa ini.

“Kesan daripada pembangunan yang pesat menyebabkan penghijrahan golongan muda ke bandar.

“Penghijrahan tersebut disebabkan beberapa faktor seperti mencari peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih lumayan berbanding di kawasan luar bandar,” katanya semasa ceramah di Bilik Persidangan AZAM di Kompleks AZAM di sini, semalam.

Tambah Ichikawa, keadaan tersebut menyebabkan majoriti penduduk luar bandar Jepun dihuni oleh orang tua.

“Pada 2010, terdapat 10 sekolah rendah di Kochi dan kebanyakan sekolah telah ditutup pada 2004.

“Kini, hanya tiga sekolah rendah masih beroperasi di Kochi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, melalui kajian kes di rumah panjang di Baram dan Rajang hampir 70 peratus bilik di situ tidak lagi dihuni (kosong).

Bukan itu sahaja, dapat dilihat kesannya kepada aktiviti kehidupan tradisional seperti pertanian pindah, memburu dan mengumpul hasil hutan menjadi tidak aktif.

“Sebahagian daripada amalan budaya masyarakat rumah panjang seperti menjalankan gotong-royong tidak lagi aktif kerana kekurangan penduduk,” jelasnya.

Di Jepun pula, perpindahan golongan muda dari luar bandar ke bandar bermula pada tahun 1960-an, lebih awal dari Sarawak.

“Di Jepun hari ini, isu penduduk berkurangan menyebabkan kawasan pertanian dan hutan tidak diurus dan terbiar.

“Selain itu, upacara seperti keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta pertanian semakin hilang kerana ketiadaan pakar dan orang berpengetahuan hinggakan terdapat beberapa komuniti telah pupus,” jelasnya.

Justeru katanya, melalui perbincangan bersama tetamu yang menghadiri ceramah berkenaan, tugas kerajaan turut diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut daripada berlaku di negara ini.

“Walaupun di Jepun sudah menemui jalan buntu, tetapi saya rasa keadaan di Malaysia masih dapat dibendung dengan kerjasama semua pihak khasnya kerajaan,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pensyarah Fakulti Sains Sosial UNIMAS yang juga pengerusi majlis Prof Dr Spencer E Sanggin.

Advertisement