Anda di sini

Pengawal keselamatan alami penyakit mental ditahan rosakkan al-Quran

Advertisement

DIREMAN: Suspek yang menceroboh dua buah masjid di sekitar Besut dan bertindak membuang ratusan naskhah al-Quran, kitab dan buku Yasin awal pagi semalam, Malek (hadapan) keluar dari Mahkamah Majistret Kampung Raja di sini untuk direman selama empat hari mulai semalam oleh Majistret Raja Norshuzianna Raja Mamat di Besut, semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan yang dilapor mengalami masalah mental ditahan kurang 24 jam selepas melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan beratus-ratus naskhah al-Quran dan kitab di dua buah masjid di Besut semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang di Besut.

“Kita berjaya mengesan suspek yang berasal dari Kampung Kluang, Besut  menerusi maklumat orang ramai serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yangdipasang di dalam masjid selain kecederaan yang dialaminya.

“Hasil siasatan, pihak polis mendapati suspek yang mempunyai masalah mental sejak dua tahun lalu serta pernah mendapat rawatan di hospital. Malah perkaraitu diakui ahli keluarga suspek,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata suspek turut didapati menerima lapan jahitan di kaki dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kecederaan itu berpunca dari tindakannya memecah pintu kaca masjid untuk memasuki ke dalam masjid.

Penduduk Kampung Limbongan dan sekitarnya gempar apabila mendapati beratus al-Quran dan kitab di dalam masjid mereka dirosakkan.

Kejadian disedari anggota Skim Ronda Sukarela kira-kira jam 2.30 pagi apabila mendapati kitab-kitab suci itu dibuang di merata tempat termasuk didalam dan luar kawasan masjid serta di dalam mangkuk tandas.

Masjid Limbongan dan Masjid Nasiruddin Shah di Kampung Raja terletak kira-kira 10 kilometer antara satu sama lain.

Jamshah berkata pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya suspek.

“Namun kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kita minta orang ramai menghentikan membuat spekulasi yang boleh mengganggu ketenteramanawam,” katanya.

Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemar tempat sembahyang dan Seksyen427 kerana khianat. — Bernama

Advertisement