Anda di sini

Mohammad kesal tindakan ketua kampung

Advertisement

Mohammad memberi penerangan status keselamatan terkini di ESSZONE kepada pemimpin masyarakat dan ketua kampung daerah Kunak di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kunak.

KUNAK: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek kesal dengan tindakan beberapa ketua kampung di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang dikatakan membenarkan pendatang tanpa izin (PTI) memasuki dan seterusnya membina rumah di kawasan perkampungan mereka.

Beliau berkata, berdasarkan laporan risikan, terdapat ketua kampung yang mengambil kesempatan dengan mengenakan atau mengutip bayaran ‘toll’ terhadap PTI yang membina rumah di kawasan itu.

“Kita juga mendapati misalnya semasa operasi bancian di empat perkampungan air di Sandakan baru-baru ini, ada orang tempatan kita yang membenarkan rumah-rumah mereka disewakan kepada PTI.

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku…mereka (terutama ketua kampung) adalah harapan kita untuk menjadi mata dan telinga kerajaan atau pasukan keselamatan untuk melaporkan kehadiran pendatang tanpa izin,” katanya pada majlis perjumpaan dan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat daerah Kunak, di sini, kelmarin.

Berikutan itu, Mohammad memberi amaran tindakan tegas mengikut Akta Imigresen akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin masyarakat peringkat akar umbi di ESSZONE yang melindungi pendatang tanpa izin.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata kerajaan akan mewujudkan sebuah balai polis baharu di Kampung Pangi, di sini, bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan di ESSZONE.

Menurutnya, balai polis itu adalah salah satu daripada tujuh balai polis yang akan dibina di ESSZONE seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, dua kabin akan dihantar dalam masa terdekat ke perkampungan itu bagi membolehkan operasi balai polis itu dapat dimulakan secepat mungkin.

“Dalam perbincangan bersama para pemimpin masyarakat di sini, kita diberitahu bahawa tempat itu adalah antara ‘laluan tikus’ pendatang asing di daerah Kunak dan saya berharap ia akan dapat dibanteras selepas kewujudan balai polis itu,” katanya.

Pada majlis itu, Mohammad turut mengumumkan ESSCOM akan mengadakan Program Semarak Bersama ESSCOM di Kudat pada 13 Mac ini yang dijangka dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Sementara itu, beliau menafikan khabar angin kelmarin yang membayangkan akan berlaku gelombang kedua pencerobohan Sulu di negeri ini.

Mohammad berkata, setakat ini tidak ada insiden pencerobohan baharu yang dilaporkan.

Advertisement