Anda di sini

Mangsa pemerdagangan manusia dibenar bekerja

Advertisement

Hanya meliputi kes pertikaian gaji/upah dengan syarat mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal

PUTRAJAYA: Mangsa pemerdagangan manusia yang tidak memerlukan perlindungan dan penjagaan lanjut dibenar bekerja mulai 1 Mac, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff semalam.

Peraturan sedia ada di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 mensyaratkan bahawa mangsa pemerdagangan manusia ditempatkan di rumah perlindungan melalui Perintah Perlindungan (PO) dan mereka hanya dibenar bekerja setelah selesai menjalani perintah itu.

Mohamad Khalid, yang juga pengerusi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), dalam kenyataan semalam berkata peraturan baharu itu hanya meliputi kes pertikaian tentang gaji/upah dengan syarat mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal.

Katanya mangsa juga diwajibkan memenuhi syarat yang ditetapkan MAPO, termasuk memasuki Malaysia dengan menggunakan dokumen perjalanan sah, mendapat tawaran pekerjaan dan bersedia untuk bekerja.

Menurut beliau mereka juga diwajibkan mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri dan kedutaan negara masing-masing.

“Mangsa pemerdagangan manusia bagi program perintis ini akan diberi Pas Imigresen bulanan khas. Mereka juga akan diberi Pas Kerja Sementara, sebaik sahaja mendapat pekerjaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Khalid berkata mangsa akan dihantar balik ke negara asal sekiranya mereka tidak mendapat kerja dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya inisiatif itu adalah sejajar dengan Laporan Pemerdagangan Orang Amerika (US TIP Report) 2013, yang mengesyorkan agar orang sedemikian perlu dibenar tinggal di luar rumah perlindungan untuk bekerja.

“Saya amat berharap pelaksanaan inisiatif baharu ini akan membantu menaikkan ranking Malaysia dalam US TIP Report, yang dijangka dikeluarkan pada Jun tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Khalid berkata Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan pembiayaan berjumlah RM801,000 bagi projek printis “Rumah Perlindungan Yang Disokong Badan Bukan Kerajaan (NGO)” untuk mangsa pemerdagangan manusia.

Menurut beliau, ketika ini enam rumah perlindungan yang diwartakan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kementerian peneraju bagi Jawatankuasa Perlindungan dan Pemulihan Mangsa Pemerdagangan Orang di bawah MAPO.

Katanya rumah perlindungan yang mendapat sokongan NGO akan diurus Jabatan Pembangunan Wanita dan dibantu sepenuhnya oleh NGO yang dilantik.

“Projek perintisnya dijadualkan mula beroperasi akhir bulan ini. Saya amat yakin bahawa pelaksanaan Rumah Perlindungan Yang Disokong NGO ini merupakan tempoh peralihan amat penting bagi negara ini dan merupakan langkah tepat ke arah menggalakkan lebih banyak NGO memberi perlindungan kepada mangsa kegiatan pemerdagangan manusia,” katanya.

Mohamad Khalid berkata Malaysia memenuhi komitmennya untuk meneruskan pelaksanaan projek perintis seperti yang diumumkan dalam Semakan Semula Berkala Universal Keduanya di Geneva, Switzerland pada 24 Okt tahun lepas.

Menurut beliau di kebanyakan negara maju seperti Australia, United Kingdom dan Amerika, unsur perlindungan ini diterajui NGO, manakala kerajaan memberi tumpuan terhadap aspek lain seperti pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan.

Bagaimanapun, katanya, di Malasyia, kerajaan akan terus memberi sokongan dari segi kewangan. — Bernama

Advertisement