Anda di sini

Jailani: Industri penyiaran di barisan depan dalam pembangunan kandungan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi keutamaan terhadap usaha meletakkan industri penyiaran tempatan di barisan hadapan dalam pembangunan kandungan dan inovasi.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata kementerian itu mencapai banyak kemajuan dalam menuju ke arah objektif tersebut, di samping menggalakkan dan meningkatkan kemajuan peserta industri berkenaan.

Katanya penyiaran televisyen terestrial berkembang pesat sejak beberapa tahun lepas, daripada hanya mempunyai dua stesen milik kerajaan kepada lapan, yang menawarkan tontonan secara percuma, sebelum rangkaian satelit berbayar diperkenalkan pada 1996.

Industri penyiaran juga beralih daripada penggunaan sistem analog kepada Siaran Televisyen Terestrial Digital Malaysia (DTTB) baru-baru ini selepas satu pemegang lesen dilantik awal tahun ini, katanya ketika merasmikan Simposium Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) ke-10 di sini semalam.

Puncak Semangat Sdn Bhd (PSSB) diumumkan sebagai syarikat yang berjaya memenangi bida untuk membina, mengendali dan mengurus perkhidmatan infrastruktur DRRB di negara ini.

Jailani berkata fasa pertama DTTB Malaysia dijangka dilaksanakan mulai suku pertama 2014 hingga suku ketiga 2015, manakala fasa kedua akan bermula dari suku keempat 2015 hingga suku kedua 2016.

Menurut beliau berikutan perkembangan baru-baru ini, penerimaan TV HD tidak lagi boleh dianggap sesuatu yang di luar jangkauan rakyat Malaysia kerana ia boleh dinikmati secara percuma menjelang akhir dekad ini.

Jailani berkata sejajar dengan perkembangan yang berlaku, stesen penyiaran kerajaan, RTM, juga akan beralih kepada penggunaan platform perkhidmatan TV HD, apabila infrastruktur TV teresterial siap dibina.

“Pendigitalan bukan sahaja menghasilkan kecekapan frekuensi untuk penyiar, tetapi juga menarik peserta baharu ke dalam pasaran dan seterusnya meningkatkan persaingan untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata teknologi baharu komunikasi membawa transformasi besar terhadap cara manusia berkomunikasi dan berkongsi pengetahuan serta maklumat.

“Teknologi baharu seperti TV interaktif dan IPTV menawarkan banyak peluang penyertaan dan penglibatan kepada orang ramai.

“Penggunaan media menjadi semakin meluas dan masanya sudah tiba untuk kita meneliti asas dan laluan komunikasi serta multimedia. Perkara paling utama yang patut diberi tumpuan ialah paradoks maklumat,” katanya.

Sebanyak 44 pempamer menyertai simposium empat hari ini, paling banyak sejak diperkenalkan 10 tahun lepas, dengan tema ‘Embracing Technological Innovations’. — Bernama

Advertisement