Anda di sini

AirAsia-Caterham janji beri saingan sengit

Advertisement

SEDIA GEGAR: Kamarudin (empat kiri), bersama Ahmad (tiga kanan), dan Mia (lima kanan) bergambar bersama jentera yang akan digunakan dalam saingan Moto2 pada Majlis Pelancaran Asia sebagai Penaja Rasmi AirAsia Caterham Moto Racing Team di Publika Solaris Dutamas di Kuala Lumpur semalam. Turut sama Pengurus Pasukan AirAsia Caterham Moto Racing Team Johan Stigefelt (tiga, kanan), Johan Zarco (empat, kanan) Josh Herrin (lima, kiri) dan Zulfahmi (tengah). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: AirAsia- Caterham Moto Racing Team berazam memberi saingan sengit di Kejohanan Dunia Moto2 2014, yang menjadi sebahagian daripada siri Kejohanan Dunia MotoGP, melalui dua penunggangnya Johann Zarco dan Josh Herin.

“Ini pasukan baharu saya tahun ini. Kami bertekad meraih keputusan cemerlang pada musim pertama kami ini dan pengalaman saya ketika menyertai dua Moto2 sebelum ini pasti boleh membantu kami mencapai sasaran ini.

“Saya gembira kerana dapat kembali bekerjasama dengan beberapa orang yang pernah bersama saya pada 2011,” kata Zarco ketika ditemui di majlis pelancaran pasukan itu di Dutamas di sini semalam.

Zarco, 23, menduduki tempat kedua dalam Kejohanan Dunia 125cc dan tangga kesembilan dalam kedudukan Moto2 2013 bersama pasukannya sebelum ini, Came Iodaracing Project.

Pada acara semalam, pasukan itu memperkenalkan motosikal lumba Moto2 600cc empat lejangnya dan pakaian lumba AirAsia.

AirAsia akan menjadi penaja pasukan tersebut sebagai komitmen berterusannya dalam bidang sukan bermotor.

Majlis itu turut dihadiri pengerusi eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, ketua pegawai eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar, pengetua Caterham Moto Racing Team Mia Shahrizman dan ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.

Penglibatan syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam perlumbaan motosikal bermula pada 2009 apabila ia menjadi penaja bersama bagi membantu Muhammad Zulfahmi memperoleh penyertaan secara wild-card dalam Grand Prix Motosikal Malaysia di bawah panji-panji AirAsia-SIC dan langkah ini berterusan sepanjang empat tahun lepas.

“Pada awalnya, banyak pihak meragui kehadiran kami dan meramalkan kami akan kecundang. Tapi, kami membuktikan andaian mereka salah apabila kami mencatat banyak kejayaan.

Kami harap AirAsia-Caterham Moto Racing Team akan menjadikan kisah kejayaan kami itu sebagai sumber inspirasi mereka dan seterusnya muncul sebagai pasukan yang tidak boleh dipandang rendah dalam perlumbaan bermotor,” kata Aireen.

Penunggang Moto3 Malaysia Muhammad Zulfahmi Khairuddin juga hadir pada majlis itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mia berkata penyertaan Caterham Group dalam sukan lumba motosikal merupakan projek jangka panjangnya selepas Formula Satu.

“Saya percaya gandingan kami dengan AirAsia sebagai sebuah pasukan Moto2 merupakan satu lagi langkah progresif, yang akan membuka peluang ke arah membawa penunggang Asia berbakat besar ke platform penjenamaan peringkat dunia,” katanya.

Mia juga menyuarakan keyakinannya bahawa dua penunggang pasukan itu akan mencapai keputusan cemerlang pada musim 2014. — Bernama

Advertisement