Anda di sini

Warga Myanmar mati dibunuh rakan serumah

Advertisement

KUANTAN: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat di sini, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam jam 12.01 malam kelmarin sebelum bergegas ke lokasi kejadian – di Lorong Sri Kuantan 28/1.

Katanya mangsa, Thang Suam Kim, 20, yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di bandar ini ditemui terbaring di tingkat atas berdekatan dengan tangga dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

“Mangsa hanya memakai seluar dalam dan polis turut menemui serpihan gelas, baju kemeja dan sehelai kain di samping mangsa,” katanya kepada pemberita di sini semalma.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa cedera di kaki kanan dan dia dipercayai mati kurang dari tempoh 24 jam.

Mohd Jasmani berkata, polis sudah mengenal pasti suspek kejadian, iaitu rakan lelaki senegara, serumah dan sekerja mangsa yang berusia 26 tahun.

“Menurut seorang saksi kejadian yang juga rakan lelaki serumah mangsa, sebelum kejadian dia berada di dalam bilik dan mendengar bunyi seperti orang bergaduh dan apabila dia membuka pintu bilik dia mendapati mangsa terbaring dengan keadaan berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati rumah tempat kejadian merupakan rumah sewa yang didiami oleh 15 rakyat Myanmar yang bekerja di sebuah restoran di bandar ini.

Katanya, semasa kejadian hanya mangsa, suspek dan saksi terbabit berada di rumah manakala pekerja lain keluar bekerja. — Bernama

“Sisatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan suspek yang telah melarikan diri itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. — Bernama

Advertisement