Anda di sini

Subsidi bahan api untungkan golongan berpendapatan rendah, sederhana, kata Masir

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat memberitahu bahawa kenaikan harga bahan api seperti RON97 dan Diesel sebelum ini sebenarnya memberi keuntungan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, maknanya kenaikan harga bahan api hasil pemotongan subsidi membolehkan kerajaan menjimatkan belanja sebanyak RM24 bilion dan wang itu boleh diguna untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin terutama di kawasan pedalaman.

Penjimatan RM24 bilion ini boleh digunakan kerajaan bagi melaksana program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan melaksana projek pembangunan di kawasan luar bandar seperti di Sarawak, jelas Masir.

“Kenaikan harga bahan api perlu dipandang positif, bukannya negatif dan pemotongan subsidi akan diguna untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian BR1M 3.0 Peringkat Parlimen P.202 Sri Aman di Stadium Mini Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di sini, semalam.

Seramai 5,151 orang dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, Bukit Begunan dan Simanggang dalam kawasan Parlimen P.202 Sri Aman menerima baucar BR1M 3.0 bagi kumpulan pertama itu.

Selain itu Masir turut menasihati penerima BR1M Parlimen Sri Aman agar memanfaatkan sebaik mungkin pemberian bantuan terbabit demi mempertingkatkan ekonomi keluarga.

“Saya berharap rakyat dapat berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak memperkenalkan bantuan yang dapat mengurangkan beban ekonomi,” kata beliau.

Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman Zaidie Sarkawi, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman ASP Ang Tuan Pek dan ketua kaum di sini.

Advertisement