MIRI: Simposium Ketua Masyarakat Iban Miri yang diadakan di sini mendapat sambutan amat menggalakkan dengan jumlah peserta melebihi angka yang disasarkan.
Pemanca Wilson Siang Lim selaku pengerusi penganjur berkata, pihaknya menyasarkan hanya 300 peserta untuk mengambil bahagian dalam simposium itu.
Namun, apabila tiba hari yang dinanti-nantikan, jumlah peserta melebihi 400 orang iaitu satu angka yang di luar jangkaan dan amat mengujakan.
Peserta terdiri daripada ketua-ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah dari beberapa bahagian seperti Miri, Sibuti, Niah, Suai, Bakong, Bintulu, Selangau dan Limbang.
Turut hadir ketua masyarakat Iban dari Merotai di Sabah serta Belait, Tutong dan Temburong di Brunei.
“Ini secara tidak langsung memberi dorongan kepada kami menganjurkan simposium serupa dengan topik berbeza pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian simposium itu.
Menurut Wilson, ramai peserta berharap simposium dianjurkan seumpama itu bukan yang pertama dan terakhir untuk masyarakat Iban di Miri kerana ia sejajar dengan usaha memartabatkan bahasa Iban terutama di kalangan generasi muda sekarang.
Simposium sulung itu merupakan anjuran bersama Ketua Masyarakat Daerah Miri, IPG Kampus Sarawak Miri dan Perkhidmatan Iban RTM Miri.
Hadir sama Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat yang mewakili Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial Sebastian Sujang, Pengurus Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri Ramli Junaidi, Francis Mancha daripada Sektor Pembangunan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan pengerusi penganjur Pemanca Wilson Siang Lim.
Dalam pada itu, menurut Penghulu Steward Sawing daripada Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Kapit, berkata simposium yang dianjurkan itu merupakan landasan terbaik untuk ketua masyarakat Iban membentangkan beberapa perkara penting berkaitan usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Iban.
“Ia sesuatu yang sangat baik dan harus dianjurkan lebih kerap terutama berkaitan topik bahasa Iban dan ejaan yang betul.
“Ini kerana ia merupakan satu topik yang amat penting terutama untuk generasi muda bagi memudahkan mereka mempelajari bahasa ibunda sendiri dengan betul,” katanya.
Menurut Steward, simposium serupa pernah dianjurkan di Kapit pada tahun lalu dengan topik berkaitan adat Iban.
Justeru, beliau berharap lebih banyak simposium seperti itu diadakan khas untuk masyarakat Iban di negeri ini sejajar dengan keperluan semasa.
Pada kali ini, pihak penganjur menjemput tiga penceramah khas untuk membentangkan tiga kertas kerja bertajuk Pemanah Bala Tuai Raban Bansa Nemu Sistem Jaku Iban Ti Dikena Di Sekula’, ‘Tangkup Pengawa Bala Tuai Raban Bansa Ngemansangka Pelajar, Adat & Pengarap dan Tangkup Pengawa Bala Tuai Raban Bansa Ngemansangka Penatai Pemisi.
Mereka terdiri daripada Penolong Pengarah Unit Bahasa Etnik, Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya Padang Luna, Ketua Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Chemaline Osup dan Profesor Madya Dr Madeline Brema daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.