Anda di sini

RM500,000 untuk usahawan muda

Advertisement

KUCHING: Golongan muda berusia 18 hingga 40 tahun yang berminat dengan bidang keusahawanan berpeluang mendapatkan geran berjumlah RM500,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, geran itu disediakan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk mengangkat idea baharu dan unik daripada golongan muda.

“TERAJU ada menyediakan bantuan untuk belia memulakan atau mengembangkan perniagaan dengan syarat mereka (belia) mempunyai idea baharu berdasarkan inovasi yang dapat dipasarkan.

“Kalau mereka (belia) berjaya dalam penilaian teknikal, geran ini (RM500,000) akan diberikan berpandukan idea inovasi yang baharu dan unik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri mengadakan lawatan kerja ke MUSC Food Industries Sdn Bhd di sini, semalam.

Menurutnya, program bantuan yang berlangsung setiap tiga bulan itu adalah platform terbaik untuk golongan belia terlibat dengan perniagaan.

Selain itu katanya, TERAJU turut menyediakan dana mudah cara untuk membantu perniagaan usahawan Bumiputera yang mempunyai nilai pelaburan mencecah RM3 juta.

“Mereka akan dapat dan layak diberi geran sebanyak 15 peratus daripada nilai pelaburan di bawah dana mudah cara yang dilaksanakan TERAJU,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan tidak mengabaikan usahawan Bumiputera yang terlibat dengan industri kotaj dengan penyediaan bantuan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Program Lanjutan Usahawan Bumiputera di bawah SME Corp.

Advertisement