Anda di sini

Rakyat diminta menilai dengan bijak setiap bantuan disediakan kerajaan

Advertisement

SIMUNJAN: Rakyat diminta menilai dengan bijak setiap bantuan yang disediakan kerajaan demi kesejahteraan semua tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, pemberian pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berterusan untuk kali ketiga membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Dapat kita lihat hari ini, sejak awal pagi lagi pelbagai kaum di daerah Samarahan seperti Melayu, Iban dan Cina datang untuk mengambil BR1M masing-masing.

“Bukan hanya BR1M, pelbagai bantuan lain seperti bantuan persekolahan untuk anak-anak, subsidi baja kepada petani, pukat untuk nelayan, subsidi gula, diesel, petrol dan banyak lagi disalurkan kepada semua tanpa mengira kaya atau miskin untuk menikmatinya.

“Ini disebabkan kerajaan sentiasa bersikap adil dalam menyalurkan apa sahaja bantuan kepada rakyat tanpa melihat agama, kaum atau fahaman politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Penyerahan BR1M 3.0 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Simunjan di Dewan Mesra Majlis Daerah Simunjan di sini, semalam.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber merangkap ADUN Simunjan menambah, setiap bantuan yang disalurkan menunjukkan bahawa kerajaan ikhlas membantu kepada mereka yang benar-benar layak menerimanya.

“Tanggungjawab kerajaan adalah membantu rakyat. Sesiapa sahaja yang patut dibantu, pastinya kita (kerajaan) akan bantu.

“Ini disebabkan dasar kerajaan adalah membantu rakyat yang memerlukan dan untuk itu rakyat perlu bersyukur kerana tidak semua negara mempunyai dasar memberi bantuan kepada rakyat.

“Jika ada pun, tidak sebanyak Malaysia. Ini menunjukkan dasar yang digunakan di negara ini mengutamakan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naroden menasihati para penerima agar berhati-hati dengan pihak yang suka mengambil kesempatan ketika proses pengagihan baucar BR1M 3.0 yang giat dilaksanakan pada masa ini.

Menurutnya, beberapa hari lalu terdapat kes seorang penerima di Simunjan ditipu dan barang kemas serta wang miliknya dilarikan oleh pencuri.

Terdahulu, seramai 3,787 penerima daripada 62 kampung dalam daerah Simunjan menerima BR1M 3.0 melibatkan peruntukan kira-kira RM2 juta untuk fasa pertama penyerahan di situ.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi dan Pegawai Daerah Simunjan Zainol Abidin Hussien.

Advertisement