Anda di sini

Rakyat bertuah dapat hidup dalam negara aman, makmur, kata Harden

Advertisement

SRI AMAN: Rakyat cukup bertuah dapat hidup dalam negara yang sentiasa aman dan makmur, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau berkata, rakyat berbilang kaum hidup dalam suasana yang harmoni dan menghormati kaum-kaum lain dari segi agama, kebudayaan dan sebagainya.

“Justeru, tidak timbul masalah rusuhan kaum seperti di beberapa negara di dunia. Negara kita dapat melaksanakan agenda pembangunan sehingga kita maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain,” katanya.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian pada Pertandingan Menembak sempena Pemeriksaan Tadbir Tahunan 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Pakit di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata kita seharusnya gembira kerana mempunyai masyarakat yang tidak mengira bangsa dan agama dan mempunyai sikap toleransi.

“Saya melihat semua persatuan dan pertubuhan sememangnya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan apabila berlakunya bencana atau pertolongan diperlukan.

“Saya juga berharap sikap seperti ini dikekalkan supaya semua lapisan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Saya yakin dengan perpaduan erat dan harmoni, politik stabil, dasar-dasar kerajaan yang baik maka kita terus memberi sumbangan untuk menikmati kehidupan selesa,” katanya.

Hadir sama Pegawai Memerintah Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) Kem Pakit Sri Aman Leftenan Kolonel Zamsari Abu Hassan serta yang lain.

Advertisement