Anda di sini

Pusat Khidmat Komuniti RELA Sibu Jaya adakan kawat kaki

Advertisement

SIBU: Pusat Khidmat Komuniti RELA Sibu Jaya mengadakan Program Kawat Kaki untuk anggota RELA Sibu Jaya pada setiap petang Ahad.

Pengerusinya Kapten RELA Wong Kah Hui berkata, program itu diwujudkan bagi mengumpulkan semua ahli RELA Sibu Jaya agar kekal bersama pasukan masing-masing.

Katanya ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim di kalangan ahli RELA Sibu Jaya.

“Bila kita ada aktiviti sebegini, sedikit sebanyak membantu kita mendekatkan ahli-ahli RELA.

“Selain itu ia memudahkan pihak Pusat Khidmat Komuniti mengesan kedudukan mereka dan menyampaikan maklumat terkini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Wong, ahli-ahli RELA diminta menyerahkan kad keahlian mereka kepada pihak pengurusan Pusat Khidmat Komuniti untuk digantikan dengan kad keahlian baharu.

Selain itu, anggota RELA turut dibekalkan dengan pakaian yang baharu.

Begitupun, mereka yang mahukan pakaian anggota RELA yang baharu perlu menyertai kawat yang dianjurkan itu.

Kali pertama program kawat berkenaan diadakan disertai kira-kira 32 ahli, manakala kawat kaki kali kedua disertai 38 anggota.

Tambah Wong, terdapat kira-kira 2,300 anggota RELA di bawah naungan Pusat Khidmat Komuniti RELA Sibu Jaya.

Selain Sibu Jaya, anggota RELA dari kawasan Bukit Tanggi dan Durin turut di bawah naungan pusat khidmat berkenaan.

Advertisement