Anda di sini

Penduduk Baram miliki Klinik 1Malaysia

Advertisement

Klinik lama di pekan Long Lama akan diselenggara untuk dijadikan Klinik 1M’sia

LONG LAMA: Penduduk Baram terutama di kawasan berhampiran Long Lama bakal menikmati kemudahan Klinik 1Malaysia selewat-lewatnya Jun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata klinik lama di pekan tersebut akan diselenggara untuk dijadikan Klinik 1Malaysia dengan kos anggaran sebanyak RM50,000.

“Kita akan cuba sedaya-upaya menyiapkan kerja-kerja penyelenggaraan klinik lama (di pekan Long Lama) selewat-lewatnya Jun tahun ini,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil di Klinik Kesihatan Long Lama semalam.

“Kita akan lihat bahagian mana yang perlu dibaiki seperti dinding, siling, lantai dan sebagainya kita akan baiki,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan kemudiannya bakal meluluskan Klinik 1Malaysia di tapak lama klinik kesihatan di pekan tersebut setelah selesai diselenggarakan.

Sementara itu Dr Hilmi memberitahu bahawa kelulusan untuk menjadikan klinik lama itu sebagai Klinik 1Malaysia adalah berikutan beberapa masalah timbul ketika Klinik Kesihatan Long Lama di seberang Sungai Baram dibuka pada tahun lalu.

Antaranya keadaan kes-kes kecemasan di luar waktu perkhidmatan feri (7 pagi hingga 8 malam) dan bayaran tambang yang agak membebankan.

“Kes-kes biasa (tidak serius) akan dikendalikan di sana (Klinik 1Malaysia) apabila siap kelak, jika kes lebih serius akan dirujuk ke Klinik Kesihatan Long Lama,” katanya.

Advertisement