Anda di sini

Operasi pembenihan awan tertumpu di selatan: Azhar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan diteruskan semalam dengan tumpuan lokasi di kawasan selatan Semenanjung, kata Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi (JMM) Azhar Ishak.

Menurutnya, tumpuan masih diberi kepada kawasan tadahan air dan empangan yang dilaporkan surut akibat cuaca panas dan kering sejak akhir-akhir ini yang membawa kepada catuan bekalan air di sekitar Lembah Klang.

“Kami akan tunggu se-hingga kira-kira jam 1 tengah hari hingga 2 petang ini dan berpandukan kepada gambar radar untuk melihat kawasan yang terdapat pembentukan tompokan awan yang sesuai.

“Kemudian, barulah kami lakukan pembenihan itu,” katanya semalam.

Menurutnya, setiap operasi mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam dengan kos sekitar RM80,000.

Mengulas lanjut, Azhar berkata sekiranya keadaan atmosfera tidak stabil, pembentukan awan akan terjadi lebih cepat.

“…dan sekiranya ini berlaku di kawasan empa-ngan, pihak kami akan cuba membantu mempercepatkan proses itu (dengan melakukan pembenihan awan) supaya hujan turun di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata maklumat tentang bacaan hujan susulan operasi pembenihan awan yang dibuat kelmarin telah diperoleh dan sedang diproses.

Ibu negara mengalami hujan sekejap pagi semalam ketika warga kota memulakan rutin harian dalam suasana berjerebu.

Menurut Azhar, hujan pagi semalam merupakan ‘baki’ daripada aktiviti pembenihan awan kelmarin.

Pembakaran terbuka dan cuaca panas dilapor menyumbang kepada keadaan jerebu yang melanda beberapa lokasi di negara ini. — Bernama

 

Advertisement